Juara dunia tiga kali itu yang sebelum ini pernah merahsiakan identiti bakal isteri, bagaimanapun mendedahkannya setelah memenangi emas menerusi acara tanding kelas putra E, hari ini.

“Saya dah bersedia untuk menamatkan zaman bujang. Saya akan akad nikah pada 3 November ini dengan gadis pilihan saya dari Kulai, Johor, Nurul Farhana Abd. Majid,” katanya yang meraih emas keempat Sukan SEA berturut-turut sejak 2011.

Pesilat berusia 25 tahun itu menaiki podium pertama setelah meraih kemenangan mutlak susulan lawannya, Pham Tuan Anh dari Vietnam menarik diri ekoran mengalami kecederaan pada pusingan kedua di pentas akhir.

“(Pada awalnya) saya hanya sasarkan tiga emas dan tiga gelaran dunia, tetapi nampaknya tak berhenti di situ. Saya mahu teruskan berjuang dan cipta sejarah di Majlis Sukan Negara (MSN) untuk terus dapat emas,” katanya.

Skuad silat negara bermandi emas pada hari terakhir apabila tujuh daripada lapan wakil kebangsaan menghadiahkannya melibatkan Faizul Nasir dalam kelas putra B; Razak Ghazali (putra D); Al Jufferi (putra E); Fauzi Khalid (putra F); Robial Sobri (putra H); Siti Shazwana Ajak (putri D) dan Siti Rahmah Nasir (putri E).

Berlainan pula buat srikandi negara Siti Rahmah, yang mendedahkan dia sebenarnya sedang berperang dengan emosi dan mental ketika di dalam gelanggang ekoran adik bongsunya, Uthman sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Dia kemalangan pada pukul 4 pagi semalam dan saya orang pertama dapat tahu berita itu. Saya terpaksa bergegas ke hospital daripada hotel penginapan. Semalam, saya langsung tidak tidur, malah semasa saya sedang bermain di separuh akhir, adik saya sedang menjalani pembedahan. Dia kini belum sedarkan diri.

“Emas ini untuk ibu saya (Syarifah Aishah Syed Hussain Albar) sebab dia sepatutnya datang menyaksikan saya bertanding, tapi tak jadi sebab kena pergi hospital,” kata Siti Rahmah yang mengakui berkemungkinan Sukan SEA 2017 merupakan penampilan terakhirnya.

Skuad negara menutup tirai silat dengan penuh gemilang apabila muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 10 emas, dua perak, empat gangsa, diikuti Vietnam (tiga emas, tujuh perak, dua gangsa) dan Indonesia (dua emas, empat perak, sembilan gangsa).

pesilat silat negara 
menghadiahkan 
emas pada hari 
terakhir.