Elena, 21, berjaya memecah rekod peribadi terbaiknya setelah mencatat masa 51 minit, 42.42 saat berbanding 51 minit, 45 saat yang dilakar semasa Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura 2014.

Penuntut Universiti Malaya dalam bidang pengurusan sukan itu menewaskan rakan sepasukan yang juga bekas jurulatih dan atlet kebangsaan Yuan Yu Fang yang mencatat masa 54 minit, 57 saat diikuti Nurul Alyahaziqah Kamarazaman dari Kelantan yang meraih gangsa.

Elena berkata dia akan terus memperbaiki catatan masa bagi mencapai hasratnya meraih pi­ngat emas Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos depan.

“Persaingan dijangka sengit dalam Sukan SEA nanti, tetapi saya mengidamkam pingat emas selepas gagal memenangi­nya dalam edisi lepas. Paling tidak, saya mahu berada di kedudukan ketiga,” kata atlet dari Wilayah Perekutuan itu.

Bagi acara melontar peluru wanita, pingat emas dimenangi Bibi Nuraishah Ishak dari Kelantan dengan lontaran sejauh 12.83m, mengetepikan pencabarnya dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Norliyana Kamaruddin dan Noor Far Diana dari Perlis, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Atlet lempar cakera kebangsaan Mohd. Irfan Shamsuddin turut menyinar apabila meraih emas selepas melakukan lemparan sejauh 56.91m, manakala Luqman Hakim Ramlan dari Kuala Lumpur memenangi pingat emas acara lompat jauh lelaki dengan catatan 7.62 meter. – BERNAMA