Asalnya ia bertujuan untuk mempertemukan dan menge­ratkan hubungan negara anggota Empayar British yang mengamalkan bertutur dalam bahasa Inggeris sahaja menerusi festival sukan empat tahun sekali dengan permulaan diadakan secara kecil-kecilan sahaja .

Pada 1911, pertandingan sukan itu akhirnya berjaya direa­lisasikan di Festival Empayar yang diadakan di The Crystal Palace, London sempena menyambut pertabalan King George V.

Sebahagian daripada festival itu diadakan Kejohanan Antara Empayar membabitkan beberapa negara jajahan seperti Australasia (Australia dan New Zealand), Kanada dan Afrika Selatan selain United Kingdom sendiri selaku penganjur dengan mempertandingkan acara olahraga, tinju, gusti dan renang.

Kanada diisytiharkan sebagai juara keseluruhan dan menerima trofi berupa piala yang diperbuat daripada perak setinggi dua kaki enam inci dan berat 340 auns yang disumbangkan Lord Lonsdale.

Sejak itu, festival tersebut senyap begitu sahaja sehingga Sukan Olimpik 1928 yang kemudiannya digunakan atlet daripada negara Empayar British untuk memulakan kembali perbincangan menganjurkan temasya pada skala yang lebih besar membabitkan negara yang lebih banyak.

Hasilnya lahir Sukan Empayar British pada 1930 yang kemudiannya diiktiraf sebagai Sukan Komanwel pertama walaupun menggunakan nama yang berbeza. Ia berlangsung di Hamilton, Kanada dari 16-23 Ogos dengan seorang atlet olahraga negara itu, Bobby Robinson menjadi tonggak kepada penganjurannya.

Selain disertai 400 atlet daripada 11 negara Komanwel, penganjur juga turut menanggung kos penerbangan atlet luar yang bertanding menerusi peruntukan berjumlah AS$30,000 dolar yang disediakan Majlis Bandaraya Hamilton ketika itu.

Antara negara yang bertan­ding adalah England, Scotland, Wales dan Ireland yang menghantar pasukan terkuat mereka selain tuan rumah, Kanada. Manakala pasukan yang menghantar kurang atlet adalah daripada Australia, New Zealand, Bermuda, British Guiana, Newfoundland dan Afrika Selatan.

Acara yang dipertandingkan pula adalah olahraga (trek dan balapan), renang, mendayung, gusti dan boling padang. Ternyata temasya pertama ini dikuasai England yang muncul juara.