SITI NURAISYAH SHAHRIN bersama pingat perak dimenanginya dalam Kejohanan Powerlifting Sirkit 1 Kebangsaan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur semalam. UTUSAN/Mohd. Hussairy Sidek

Kejayaannya meraih pingat dalam kategori 55 kilogram (kg) itu bermakna dia mengekalkan pencapaiannya dalam kejohanan sama Ogos tahun lalu, namun berjaya meningkatkan lagi jumlah berat.

“Alhamdulillah, saya berjaya mengekalkan prestasi dalam penyertaan kali ini dengan pencapaian julangan lebih baik iaitu seberat 47kg sekali gus meraih pingat perak. Tahun lalu, saya hanya berjaya mengangkat beban seberat 41kg, juga untuk pingat perak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Parit 16, Sungai Panjang, di sini hari ini.

Ecah, mula berjinak dalam sukan angkat berat selepas kedua-dua kakinya putus akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu dan merupakan atlet wanita tunggal mewakili Selangor dalam kejohanan berkenaan.

Katanya, dalam pusingan pertama dia berjaya mengangkat beban seberat 36kg, kemudiannya 41kg dalam pusingan kedua.

“Saya berjaya mengangkat berat 47kg dalam pusingan ketiga, namun tidak dikira juri dari segi teknikal kerana dikatakan kurang seimbang semasa julangan dilakukan,” jelas pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap itu, yang bertekad mahu meraih pingat emas dalam kejohanan akan datang.

Selain menyertai kejohanan peringkat kebangsaan, Ecah juga pernah meraih pengalaman berharga ketika mewakili negara dalam Kejohanan Sukan Para Asia Ke-3 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu Disember lalu.

Sementara itu, bapa Ecah, Roslan Sardi, 42, berkata, dia bersama isterinya Maimunah Md. Razalli, 49, sentiasa memberi dorongan kepada Ecah dan gembira dengan pencapaian anak mereka dalam sukan tersebut.

“Kami akan terus memberi sokongan dan dorongan untuk Ecah berjaya dalam sukan ini. Malah kami berharap Ecah dapat berlatih dengan peralatan latihan yang lebih lengkap dan sistematik untuk memastikan dia berada dalam prestasi terbaik setiap kali menyertai kejohanan,” ujarnya.