Pengumuman tersebut dibuat oleh badan olahraga dunia itu semalam.

Kebiasaannya, IAAF akan me­ngadakan satu majlis makan malam yang gilang gemilang untuk menye­rahkan anugerah kepada atlet lelaki dan wanita terbaik sepanjang tahun.

Bagaimanapun, majlis tersebut dibatalkan tahun ini selepas bekas Presiden IAAF, Lamine Diack diletakkan di bawah siasatan jenayah di Perancis atas kesalahan rasuah serta salah laku.

Eaton dan Dibaba, yang ma­sing-masing memenangi pingat emas dalam acara dekatlon serta 1,500 meter pada Kejohanan Dunia di Beijing, Ogos lalu, selain memecah rekod dunia, tahun ini.

Eaton, 27, yang kini menjalani latihan bersama Kelab Trek Elit Oregon di Eugene, bersaing se­ngit dengan jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt dan atlet lompat kijang Amerika Syarikat, Christian Taylor untuk anugerah tersebut.

Sejurus diumum sebagai pemenang, Eaton menyuarakan rasa gembira kerana usaha kerasnya selama ini dihargai.

“Saya gembira dan berterima kasih kepada IAAF kerana menyediakan pertandingan yang sangat kompetitif, kejohanan mereka membolehkan kami membuktikan kemampuan.

“Saya tidak mengalahkan ­Usain atau Christian, kami bersaing dalam acara yang berbeza. Mereka juga atlet terbaik dan pa­ling berbakat dalam acara mereka, saya bertuah kerana berada sebaris dengan mereka,” kata Eaton dalam Twitter. – AGENSI