Ini kerana kedua-dua atlet terbabit masih bersekolah dan terlalu muda untuk menghadapi kejutan kes seperti ini.

Pemangku Setiausaha Kehormat NAAM, Mejar (B) Amir Suharman Adnan berkata tidak seperti Datuk Lee Chong Wei yang merupakan atlet yang sudah matang, pemanah muda ini dibimbangi sukar menerima keputusan jika tidak kena caranya.

“Kami sudah pun menerima surat rasmi daripada Majlis Sukan Negara (MSN) lewat petang hari ini mengenai keputusan doping untuk temasya Sukma Sarawak Julai lalu itu dan akan menyerahkannya kepada persatuan memanah negeri yang terbabit untuk mengendalikannya.

“Bagaimanapun itu tidak bermakna kami dalam persatuan kebangsaan lepas tangan sebaliknya tujuan menyerahkan tugas kepada persatuan negeri untuk memaklumkan keputusan doping itu dibuat memandangkan dua pemanah terbabit terlalu muda dan masih bersekolah.

“Jadi mereka perlu didampingi dengan cara berbeza berbanding atlet yang lebih tua dan matang supaya mereka dapat berfikir dengan baik sama ada untuk mengaku bersalah atau mencabar keputusan doping tersebut,” kata Amir.

Memanah menjadi tumpuan berbanding dua lagi sukan iaitu tinju dan angkat berat yang turut positif doping semasa temasya di Sarawak itu kerana ini merupakan kali pertama penggunaan dadah dikesan dalam sukan tersebut. Malah ramai yang tertanya-tanya apa perlunya dadah tersebut digunakan dalam sukan memanah.

Untuk rekod, dadah jenis sibutramine yang dikesan itu biasanya digunakan dalam ubat diet dan melangsingkan badan. Ia juga merupakan dadah yang sama dikesan digunakan atlet wusyu negara Tai Cheau Xuen ketika Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan sebelum ini.

Walaupun bukanlah jenis dadah No. 1 yang dilarang dalam sukan, penggunaan sibutramine tetap satu kesalahan kerana bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan Agensi Antidoping Dunia (WADA).

Semalam MSN mengumumkan empat atlet muda Sukma 2016 positif doping. Selain memanah, seorang petinju turut disahkan positif dadah jenis diuretics dan seorang atlet angkat berat positif dadah jenis steroid. Keempat-empat mereka juga merupakan pemenang pingat dalam acara masing-masing.

Diuretics digunakan untuk mengurangkan berat badan dengan pantas manakala steroid digunakan untuk membina otot dengan cepat. Bagaimanapun ketika mengumumkan keputusan doping itu bersama Agensi Antidoping Malaysia (Adamas), Shapawi enggan mendedahkan warna pingat dan nama atlet tersebut bagi memberi peluang mereka menjawab tuduhan tersebut terlebih dahulu.

MSN memberi tempoh hingga 15 Oktober ini untuk mereka berbuat demikian sebelum hukuman dijatuhkan NAAM. Jika bersalah keempat-empat mereka berdepan penggantungan selama empat tahun dan boleh dikurangkan hingga dua tahun jika boleh membuktikan penggunaan tersebut bukan silap mereka.