Menjadi peserta kedua dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran), Ziyad hanya memerlukan percubaan pertama sahaja untuk melakukan catatan 17.29 meter (m) di Stadium London sekali gus memperbaharui rekod dunia milik sendiri yang dilakukan ketika memena­ngi pingat emas Sukan Paralimpik di Rio tahun lalu iaitu 16.48m.

“Saya ke sini untuk membawa pulang sesuatu kepada negara saya. Ini adalah rekod dunia kedua saya dan saya sangat bangga. Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk pencapaian ini. Saya bangun pagi ini (Sabtu di London) dan berfikir mungkin saya dapat memecahkan rekod dunia.

“Saya selalu mengimpikan untuk melakukannya dan malam ini saya berjaya. Rekod dunia, juara Paralimpik dan kini juara dunia - sangat bagus.

“Bagaimanapun saya tidak dapat menjanjikan pingat emas dalam Sukan SEA nanti tetapi saya berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk Malaysia dan saya akan mengekalkan momentum ini dalam Sukan Para ASEAN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Percubaan atlet dari Gombak, Selangor itu yang seterus­nya gagal menghampiri catatan pertamanya kerana terganggu dengan makluman bahawa pemegang rekod kejohanan Tod Hodgetts dari Australia telah memecahkan rekod dunia.

Mengakui tertekan apabila lontaran Hodgetts diisytiharkan sebagai rekod baharu dunia, Ziyad berkata dia bagaimanapun tahu pengumuman yang dibuat itu adalah salah kerana lontaran pemenang pingat emas Paralimpik 2012 itu jelas tidak begitu jauh.

Pingat perak diraih oleh atlet dari Ecuador, Stalin David Mosquera yang melakukan lontaran sejauh 16.61m manakala Hodgetts menduduki tempat ketiga de­ngan catatan 15.94m.

Sementara itu, Abdul Latif yang sudah lima bulan tidak beraksi secara kompetitif akibat kecederaan buku lali terus ‘terbang tinggi’ untuk menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia dengan lompatan sejauh 7.37 meter sekali gus memperbaharui rekod kejohanan miliknya yang dilakukan dalam kejohanan di Doha dua tahun lalu iaitu 7.35m.

Atlet berusia 20 tahun itu bagaimanapun terpaksa menunggu hingga lompatan kelima dalam kategori T20 (masalah pembelajaran) untuk memperbaharui rekod miliknya selepas tiga percubaannya gagal mencapai jarak 7.0m.
Pingat perak diraih oleh atlet dari Croatia dengan lompatan 7.32m manakala gangsa milik Dmytro Prudnikov dari Ukraine 7.12m.
Walaupun misinya untuk memenangi pingat emas tercapai, namun Abdul Latif tidak berpuas hati kerana sasarannya untuk melompat sekurang-kurangnya 7.50m gagal dipenuhi.

“Saya tidak berpuas hati dengan lompatan hari ini kerana tidak mencapai sasaran tetapi gembira kerana berjaya mempertahankan pingat emas,” kata atlet dari Perlis itu, yang turut akan bersaing dalam Sukan SEA nanti.