Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Dua bekas jaguh No. 1 dunia tersingkir

Kristina Mladenovic membalas pukulan Caroline Wozniacki pada suku
KRISTINA MLADENOVIC membalas pukulan Caroline Wozniacki pada suku akhir Terbuka BNP Paribas di Indian Wells, California, semalam. AFP

INDIAN WELLS, 
California 17 Mac - Elena Vesnina menafikan satu lagi kebangkitan yang cuba dilakukan Venus Williams manakala Kristina Mla­denovic bangkit daripada ke­tinggalan ketika menumpaskan bekas pemain No. 1 dunia, Caroline Wozniacki untuk mara ke separuh akhir tenis Terbuka BNP Paribas di Indian Wells, hari ini.

Williams, 36, yang menunjukkan semangat juang hebat minggu ini dengan terselamat daripada ketinggalan pada mata perlawanan ketika menentang Jelena Jankovic serta Peng Shuai akhirnya akur dengan kekalahan sengit kepada pilihan ke-14 dari Rusia, Vesnina 2-6, 6-4, 3-6.

Vesnina, 30, yang melangkah ke separuh akhir Wimbledon tahun lalu melakukan pukulan depan ke belakang gelanggang untuk menamatkan cabaran bekas pemain No. 1 dunia dari Amerika Syarikat (AS) itu dalam pertarungan dua jam, 11 minit.

“Pada penghujung permainan, saya tidak tahu bagaimana saya boleh memenangi perlawanan selepas ketinggalan 0-40.

“Dia (Williams) agak perlahan di set pertama, jadi dia terlepas beberapa pukulan dengan mudah, namun Venus bangkit di set kedua dan saya dalam masalah,” kata Vesnina.

Kemenangan akan menemukan Vesnina dengan pemain muda Perancis, Mladenovic yang cemerlang menyingkirkan juara 2011 dari Denmark, Wozniacki 3-6, 7-6 (7/4), 6-2.

Ini adalah kali pertama Mla­denovic mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf Premier Mandatory, sekali gus bakal melonjakkannya dalam kelompok 20 terbaik dunia pada ranking Persa­tuan Tenis Wanita (WTA), minggu depan.

Pemain berusia 23 tahun itu memperbaiki rekod kemena­ngan kepada 16-5 musim ini, malah turut merangkul gelaran pertamanya di St. Petersburg, Januari lalu, selain melangkah ke final kejohanan di Acapulco pada 28 Februari lalu.

“Dia sedang berada di kemun­cak prestasi, begitu juga saya. Salah seorang daripada kami akan ke final, jadi kita tengok esok bagaimana,” kata Vesnina mengenai pertemuan dengan Mladenovic.

Satu lagi separuh akhir perseorangan wanita akan menemukan pemain No. 3 dunia, Karolina Pliskova dari Republik Czech menentang pilihan kelapan dari Rusia, Svetlana Kuznetsova.

Sementara itu, dalam sai­ngan lelaki, Stan Wawrinka mengukuh­kan reputasi sebagai antara pemain terbaik dunia apabila menyingkirkan Dominic Thiem dari Austria 6-4, 4-6, 7-6 (7/2) untuk ke separuh akhir.

Pilihan ketiga dari Switzerland itu yang enam bulan lalu me­ngalahkan Novak Djokovic untuk muncul juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) kini akan berdepan pilihan ke-21, Pab­lo Carreno Busta dari Sepanyol yang menang 6-1, 3-6, 7-6 (7/4) ke atas pemain Uruguay, Pablo Cuevas. – REUTERS

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain