Djokovic, pemenang 2016 di Roland Garros dan bekas pemain No. 1 dunia diletakkan selaku pilihan ke-20, tahun ini, selepas dia terpaksa bergelut bagi mendapatkan kembali prestasi terbaiknya sebaik pulih daripada kecederaan siku kanannya.

Dia gagal mempamerkan persembahan terbaiknya di Gelanggang Suzanne Lenglen, tetapi masih mampu mara bagi mencatat pertembungan dengan pilihan ke-13, Roberto Bautista Agut dari Sepanyol untuk mencari slot ke peringkat 16 terbaik.

“Saya sangat gembira dapat berada di sini iaitu di Suzanne Lenglen dan menyaksikan begitu ramai penonton yang hadir memberikan sokongan kepada saya. Jaume seorang pemain yang bagus, dia memiliki kualiti dan sangat fokus. Saya mengucapkan tahniah kepadanya kerana memberikan tentangan hebat, hari ini,” kata Djokovic.

Sementara itu, pemain No. 3 dunia, Zverev berdepan tekanan apabila ketinggalan 2-1 sewaktu menentang Lajovic, tetapi malangnya pemain Serbia tersebut kehabisan tenaga untuk melengkapkan saingan dan sekali gus membuka laluan kemenangan 2-6, 7-5, 4-6, 6-1, 6-2 kepada wakil Jerman itu.

Zverev, 21, pemenang tiga gelaran Masters, masih belum pernah melayakkan diri ke suku akhir pada Grand Slam dan dia tersingkir seawal pusingan pertama di Roland Garros, tahun lalu.

Bagaimanapun, Zverev kini berjaya mara sehingga ke pusingan ketiga buat kali kedua, di mana dia dijadualkan menentang pemain Bosnia yang juga pilihan ke-26, Damir Dzumhur, dalam usahanya untuk menjadi pemain lekaki Jerman pertama merangkul gelaran Terbuka Perancis sejak 1937.

Pilihan keempat, Grigor Dimitrov turut melangkah ke peringkat seterusnya setelah dia mengetepikan cabaran pemain Amerika Syarikat, Jared Donaldson 6-7 (2/7), 6-4, 4-6, 6-4, 10-8. - AFP