Djokovic, yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan, pada asalnya dijadualkan bertemu pemain yang mara sehingga ke separuh akhir Terbuka Australia, Chung Hyeon, tetapi anak muda berusia 22 tahun dari Korea Selatan itu menarik diri kerana kecederaan belakang kira-kira sejam sebelum perlawanan bermula.

Bintang Serbia itu yang beraksi buat kali pertama sejak memenangi Wimbledon bulan lalu, tidak pernah berada dalam bahaya pada pertembungan pusingan pertama itu, tetapi dia masih memerlukan masa bagi membaca corak permainan Basic sebelum menang dalam tempoh 90 minit.

“Saya tidak pernah bertemu Basic. Saya kenal dia kerana saya berlatih dengannya, tetapi saya tidak pernah bermain dalam pertandingan rasmi jadi sudah tentu ia bukan mudah untuk saya mendapatkan rentak pada awal permainan.

“Saya berasa agak kecewa pada ketika itu, tetapi ini bermakna saya mengambil berat tentang permainan saya,” kata Djokovic.

Pemain No. 10 dunia itu tidak setajam seperti mana yang diharapkan, jika dia menyimpan impian untuk mencipta kejayaan buat kali pertama di sini sejak 2016, tetapi persembahan yang dipamerkannya memadai apabila Basic gagal menyempurnakan pukulan depan dan servisnya.

Lawan yang menanti Djokovic di pusingan kedua ialah pemain Kanada, Peter Polansky.

Dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama, pemain Switzerland yang mendapat tiket wild card, Stan Wawrinka menewaskan pilihan ke-16, Nick Kyrgios dari Australia 1-6, 7-5, 7-5, manakala wakil Belanda, Robin Haase mengalahkan pemain Jepun, Kei Nishikori 7-5, 6-1. - REUTERS