Pemain pilihan kedua kejohanan Djokovic melakar kemenangan 6-1, 6-4, 6-3 ke atas Joao Sousa manakala Muguruza terpaksa berhempas pulas untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi juara bertahan pertama tersingkir seawal pusi­ngan pertama sejak 2014 ketika dia mengecewakan Serena Williams.

Dalam pada itu, Rafael Nadal meneruskan usaha memburu gelaran juara kali ke-10 di Paris apabila menewaskan Robin Haase 6-1, 6-4, 6-3 dalam tempoh satu jam, 49 minit.

Pemain pilihan keempat, Muguruza bermandi peluh lebih daripada dua jam untuk menewaskan pemain ke-53 dunia Annett Kontaveit 6-7 (4), 6-4, 6-2.

Beraksi di Roland Garros untuk kali ke-20 menyaksikan Venus Williams turut mara ke pusingan ketiga apabila menewaskan Kurumi Nara dari Jepun 6-3, 6-1.

“Saya berasa semakin baik pada pusingan pertama, inilah apa yang saya mahukan,” kata Djokovic dalam bahasa Perancis di gelanggang seperti yang biasa dilakukannya apabila beraksi di sini.

Dalam pada itu, bintang tenis dari Sepanyol, Muguruza mengakui lawannya bermain dengan lebih baik sehingga memaksanya untuk menunggu waktu yang sesuai sebelum melakukan serangan balas.

“Saya fikir dia bermain dengan bagus dalam dua set pertama. Saya hanya berlegar di atas gelanggang dan menjadi agresif apabila tiba waktu yang sesuai,” kata Muguruza.

Sementara itu Terbuka Perancis menjadi kejohanan pertama disertai Petra Kvitova sejak mengalami kecederaan apabila rumahnya diceroboh pada Disember lalu. Bagaimana­pun juara Wimbledon dua kali itu pulang awal setelah tewas kepada Bethanie Mattek-Sands 7-6 (5), 7-6 (5) yang terlebih dahulu beraksi dalam pusingan kelayakan. – AP