Selepas menjuarai Wimbledon dan kemudiannya terbaharu Terbuka Cincinnati, pemain berusia 31 tahun dari Serbia itu bagaimanapun mendapati tiga pemain utama dunia kini hadir menjadi penghalangnya untuk bergelar juara Grand Slam terakhir dalam kalendar 2018.

Cuma sedikit meyakinkannya ialah kejayaan menewaskan Roger Federer di final Terbuka Cincinnati baru-baru ini walaupun menyedari Rafael Nadal masih diletakkan sebagai pilihan utama kali ini manakala prestasi Andy Murray kekal menjadi misteri.

Djokovic yang pernah muncul juara Terbuka AS pada 2011 dan 2015 dan lima kali sebagai naib juara, tidak menyertai kejohanan sama pada tahun lalu kerana masih belum pulih daripada kecederaan siku yang dialaminya ketika itu.

Kini dengan semua masalah tersebut sudah berakhir, Djokovic lega kerana dia sudah kembali mendapat keyakinan yang diperlukan.

“Ia satu perasaan yang melegakan. Dalam menghadapi tempoh beberapa bulan yang sukar, kejayaan di Wimbledon dan Cincinnati hadir,” katanya yang akan membuka kempen Terbuka AS 2018 menentang pemain Hngary, Marton Fucsovics.

Federer yang tewas kepada Djokovic di Cincinnati turut memuji lawannya itu dengan berkata: “Dia seorang juara yang hebat.”

Nadal yang tidak beraksi di Cincinnati pula mendapat usia semakin mencemburui prestasinya kali ini walaupun bergelar juara bertahan dan pemain No. 1 dunia ketika ini.

"Tenis menagih kemampuan fizikal yang tinggi. Saya tidak akan lupa bahawa saya semakin tua setiap tahun.,” kata pemain Sepanyol berusia 32 tahun itu yang akan menentang rakan senegara, David Ferrer di pusingan pertama.

Turut perlu diberi perhatian kali ini adalah pemain Argentina, Juan Martin del Potro selain juara dalam pembikinan, Alexander Zverev dari Jerman. - AFP