Bintang Serbia itu memenangi pertarungan epik tersebut 7-6 (8/6), 5-7, 7-6 (7/3), namun Federer memena­ngi hati peminat kerana lebih tenang sepanjang perlawanan.

Ini kemenangan keempat berturut-turut dilakar Djokovic ke atas Federer, dan yang ke-25 daripada 47 keseluruhan, sekali gus bakal menemukannya dengan pemain bukan pilihan dari Rusia, Karen Khachanov dalam final esok.

“Ini adalah pertarungan terbaik saya tahun ini. Saya amat menghormati Roger.

“Setiap kali saya menentang Roger, ia menuntut saya memberikan permainan terbaik,” kata Djokovic kepada penonton sejurus tamat perlawanan.

Begitupun, bekas pemain No. 1 dunia itu gagal mengawal emosinya di atas gelanggang apabila sering menghempas raket hingga menimbulkan kemarahan penonton.

Ini bukan kali pertama juara Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat 2018 itu hilang kawalan minggu ini, dia juga menunjukkan reaksi sama ketika menewaskan Marin Cilic pada pusi­ngan ketiga. – AGENSI