Turun selaku juara bertahan, jaguh Serbia itu dikejutkan oleh pemain muda Austria, Thiem 6-7, 3-6, 0-6, sekali gus menyebabkan dia bakal terkeluar daripada ranking dua terbaik dunia buat kali pertama sejak 2011.

Selepas menjulang trofi pertamanya di Roland Garros tahun lalu, Djokovic, 30, Djokovic bergelut dengan prestasi dan beberapa kali mengalami kekalahan mengejut musim ini.

Paling tidak dilupa adalah kekalahan kepada pemain No. 117 dunia dari Uzbekistan, Denis Istomin pada pusingan kedua Terbuka Australia, Januari lalu.

Ketika ditanya, apakah dia mempertimbangkan untuk berehat daripada tenis, Djokovic membalas: “Percayalah, saya memikirkan tentang banyak perkara, terutama sejak beberapa bulan terakhir.

“Saya hanya mahu memastikan, apakah yang terbaik buat saya sekarang. Sudah tentu, banyak perubahan berlaku dalam pasukan (kejurulatihan). Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Andre (Agassi) dan pasukan baharu.

“Pada masa yang sama, saya mempunyai tanggungjawab terhadap permainan saya sendiri. Jadi kita lihat bagaimana, namun yang pasti apa pun keputusan yang bakal dibuat tidak mudah. Saya perlu pertimbangkan apa yang saya rasa sekarang selepas berakhirnya cabaran di Roland Garros.”

Pemilik 12 kejuaraan Grand Slam itu juga mengakui, kurang konsisten menyebabkan permainannya merosot sejak beberapa bulan ini, malah semua itu sudah cukup untuk menjelaskan tentang kekalahannya kepada Thiem.

Sementara itu, pemain No. 1 dunia, Andy Murray melangkah ke separuh akhir selepas dipaksa berhempas pulas untuk menyingkirkan Kei Nishikori dari Jepun 2-6, 6-1, 7-6 (7/0), 6-1.

Murray, yang menyifatkan dia berjaya meneruskan cabaran dengan ‘cara pelik’ menempah pertemuan dengan bintang Switzerland, Stan Wawrinka pada separuh akhir esok, manakala Thiem bakal berdepan juara sembilan kali, Rafael Nadal.

“Saya tidak menunjukkan permainan yang baik hari ini dan keadaan cukup sukar di luar sana.

“Secara fizikal, saya dalam keadaan baik. Cuma hari ini, saya tidak mempamerkan permainan terbaik dan keadaan agak sukar di luar sana.

“Tidak banyak rali panjang, tiada rentak permainan dan saya langsung tidak bermain dengan baik. Jadi boleh dikatakan, melangkah ke separuh akhir sudah cukup bagus,” kata Murray.

Terdahulu, juara 2015, Wawrinka mengetepikan pemain tuan rumah, Gael Monfils 7-5, 7-6 (9/7), 6-2, manakala Nadal menang selepas rakan senegaranya dari Sepanyol, Pablo Carreno Busta menarik diri ketika ketinggalan 2-6, 0-2. – AGENSI