Khabar angin itu mula bertiup kencang apabila rumah tangga pemain No. 4 dunia tersebut dikatakan berantakan sejak 18 bulan lalu, ekoran sikap ‘kaki perempuan’ Djokovic sendiri.

Terkini pengulas BBC, John McEnroe turut membangkitkan isu peribadi pemain berusia 30 tahun itu ke pengetahuan umum, apaila dia membandingkan Djokovic dengan bintang golf bermasalah, Woods.

“Bercakap tentang kemerosotan prestasi yang dialami Djokovic, McEnroe berkata, bekas pemain No. 1 dunia itu sedang berdepan masalah dengan keluarganya.

“Masalah peribadi akan menyebabkan permainan anda merosot. Jika anda terganggu, anda tidak lagi pemain yang sama seperti sebelum ini.

“Bila melihat Novak, saya tidak terbayangkan dia sebagai pemain tenis tetapi pemain golf, Tiger Woods.

“Sewaktu Woods berdepan masalah dengan isterinya, kariernya hampir musnah dan sehingga kini dia masih gagal kembali kepada zaman kegemilangannya,” kata McEnroe.

Djokovic dikatakan terjebak dengan godaan wanita jelita sejak mula berhubung mesej dengan bintang pop Serbia, Natasa Bekvalac pada 2011. Gosip yang mengaitkan Djokovic dengan Bekvalac berlanjutan lima tahun.

Bagaimanapun, penyanyi itu menafikan mempunyai hubungan intim dengan Djokovic setelah mereka didakwa bertemu sewaktu bercuti di Ibiza, Sepanyol.

Djokovic turut dikaitkan dengan seorang peguam dari Ukraine yang hanya dikenali sebagai Victoria.

Gosip liar mula tercetus apabila wanita itu menerusi Instagram menunjukkan dia sering mengikuti Djokovic mengeliling dunia kerana menyertai pertandingan tenis.

Djokovic juga dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan seorang wanita bergelar DJ Lady Lee yang mana nama sebenarnya ialah Lidija Popovic, sewaktu di awal hubungannya bersama Jelena.

Dalam gosip terbaharu, pemain itu dikatakan menjalin hubungan dengan bintang filem Bollywood, Deepika Padukone yang sedang mencipta nama di pentas Hollywood. Mereka berdua pernah dirakam keluar bersantai di sebuah bar di Los Angeles.

Bagaimanapun, selepas berita itu tersebar, Djokovic mengeluarkan kenyataan bahawa Padukone adalah sahabat isterinya.

Djokovic menjalin hubungan dengan Jelena, 31, yang merupakan graduan perniagaan selama lebih 10 tahun. Pasangan itu mendirikan rumah tangga di Montenegro pada 2014 sewaktu Jelena sedang mengandungkan anak lelaki mereka, Stefan.

Bukan mudah bergelar isteri seorang pemain tenis. Jelena dikenali sebagai seorang wanita yang amat sopan setiap kali berdepan kenalan suaminya dan dia juga menguruskan yayasan kebajikan milik Djokovic.

Sedang hamil anak kedua yang dijangka lahir September ini, pasangan itu menetap di Monte Carlo dan Jelena sering terbang ke seluruh dunia menyaksikan suaminya beraksi.

NOVAK DJOKOVIC

Sukan: Tenis

Tarikh lahir: 22 Mei, 1987

Tempat lahir: Belgrade, Serbia

Pasangan: Jelena Djokovic

Anak: 1 (lelaki, 3 tahun - Stefan)

Pendapatan: AS$37.6 juta (RM160.97 juta) setakat Jun, 2017

Pencapaian terbesar

12
kejuaraan Grand Slam

Terbuka Australia 2008, 2011, 2012, 2013, 2015, 2016

Terbuka Perancis 2016

Wimbledon 2011, 2014, 2015

Terbuka Amerika Syarikat 
2011, 2015

Pingat 
gangsa Sukan Olimpik Beijing 2008