Jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan berkata, Ridzuan yang mesra disapa Dikwan tidak boleh berehat lebih tiga hari kerana faktor umur, selain mampu memberi kesan besar kepada prestasi.

“Ramai tidak tahu individu mempunyai masalah cerebral palsy apabila mereka berusia, otot mereka akan semakin pendek dan tegang memyebabkan pergerakan sedikit perlahan.

“Untuk Dikwan dan atlet yang mempunyai masalah s­eperti dia, kita kena tingkatkan latihan fleksibiliti dan tidak boleh beri rehat. Jika rehat dua tiga hari, otot jadi tegang dan akan beri kesukaran.

“Dari 2017 kami telah bekerja keras selepas dia kalah kepada pelari dari China dalam Kejohanan Dunia. Ketika itu, kita tentukan untuknya memenangi acara 100 meter di Sukan Para Asia 2018.

“Segala usaha dan kerja keras berbaloi, misi kita kini adalah pertahankan emas Tokyo 2020,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Ridzuan, 31, muncul rakyat Malaysia pertama menerima pengiktirafan berprestij apabila dinobat sebagai Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018 di Dubai, semalam.

“Saya tidak kisah untuk berlatih setiap hari dan menjalani latihan lebih keras. Segala kejayaan tidak datang dengan mudah, ini dilakukan demi mengharumkan nama Malaysia,” kata Ridzuan.

Pelari kelahiran Padang Besar, Perlis itu memasang hasrat untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Sukan ­Paralimpik Rio 2016 pada temasya terbesar dunia tersebut tahun depan.

November nanti, Ridzuan dan atlet Paralimpik yang lain akan menghadapi Kejohanan Dunia bagi persediaan menje­lang Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Siti Zaharah Abdul Khalid berharap kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang lain untuk menjadi seperti Ridzuan.

“Kita jadikan dia ikon kepada warga OKU yang lain untuk menceburi bidang sukan untuk bersosial dengan masyarakat lain. Saya harap rakyat Malaysia dapat memberi sokongan padu kepada golongan ini,”ujarnya.