Atlet kelahiran Padang Besar, Perlis itu mengakui faktor umur yang semakin meningkat memerlukan latihan lebih keras dilakukan untuk mempertahankan emas Sukan Paralimpik Rio 2016.

“Bukan satu misi mudah untuk saya tapi fokus utama di Olimpik Tokyo pertahankan emas.

“Anugerah ini suntik semangat saya untuk buat lebih baik untuk keluarga, jurulatih, rakan dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Ridzuan, 31, atau lebih mesra dengan penggilan Dikwan menerima anugerah tersebut pada majlis Anugerah Asia 2018 dan Makan Malam yang berlangsung di Dubai, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Siti Zaharah Abdul Khalid berharap kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang lain untuk menjadi seperti Dikwan.

“Kita jadikan dia ikon kepada warga OKU yang lain untuk menceburi bidang sukan untuk bersosial dengan masyarakat lain. Saya harap rakyat Malaysia dapat memberi sokongan padu kepada golongan ini,”ujarnya.

Atlet kelahiran Padang Besar, Perlis itu memenangi pingat emas Sukan Para Asia di Jakarta tahun lalu dengan memecah rekod dunia acara 100 meter T36 (cerebral palsy), selain mencipta rekod Asia dalam saingan lompat jauh. Pada temasya tersebut, Dikwan berjaya membawa pulang tiga pingat emas.

Dia juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio dalam acara 100m. - UTUSAN ONLINE