Perkara tersebut diakui oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran yang mengakui ramai ahli gabungan meminta beliau bertanding merebut kerusi No.1 PSM yang diduduki Datuk Seri Ahmad Ismail sejak 2002.

Katanya, kebanyakan ahli gabungan sudah jemu dengan ke­pimpinan PSM yang tidak merancang dengan baik pembangunan sepak takraw selain mengamalkan sikap pilih bulu.

Tempoh pemimpin semasa PSM telah tamat pada September lalu namun perlembagaan badan induk sepak takraw kebangsaan itu menyatakan pemilihan barisan baharu boleh dilakukan dalam tempoh 18 bulan selepas itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Markiman juga menyatakan bahawa pemilihan barisan pe­mimpin baharu PSM seharusnya dipercepatkan dan menjadi ke­utamaan ketika ini tanpa perlu menunggu hingga tahun depan untuk meningkatkan semula imej persatuan itu dalam kala­ngan peminat.

“Ramai yang mahukan per­ubahan dalam badan induk tersebut terutama selepas melihat prestasi sukan tradisi kita ini semakin luntur.

“Kita mempunyai ramai pemain berbakat namun tanpa program pembangunan yang baik sukar untuk mereka melangkah lebih jauh dan sampai bila kita harus tunggu?,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Selangor adalah antara pengeluar jaguh sepak takraw negara sejak PSM ditubuhkan pada 25 Jun 1960. Negeri itu merupakan juara terbanyak Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari iaitu 12 kali, berkongsi dengan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT), Mohd. Shapian Ali berpendapat per­ubahan menyeluruh harus dilakukan oleh PSM bukan sahaja melibatkan jawatan No.1 sahaja.

Tegasnya, individu yang telah lama memegang jawatan penting dalam PSM juga harus berundur dan memberikan peluang kepada orang baharu untuk membawa perubahan besar dalam badan induk tersebut.

“Perubahan melibatkan perlembagaan badan induk juga wajar diubah terutama berkaitan pemilihan Presiden yang hanya boleh dicabar oleh presiden ahli gabungan sahaja, bukan seperti persatuan sukan lain yang terbuka kepada orang luar.

“Dalam masa sama pembaharuan melibatkan program pembangunan juga harus dilakukan kerana sudah lama sepak takraw tidak meraih kecemerlangan besar yang membanggakan negara,” katanya.