Dijinakkan dengan servis, pukulan balas dan semangat melawan yang bagus daripada Del Potro, Federer akur dengan kekalahan 5-7, 6-3, 6-7, 4-6 sekali gus memusnahkan impian peminat tenis untuk menyaksikan pertemuan bintang dari Switzerland itu dengan Rafael Nadal dalam separuh akhir.

Del Potro yang pernah menewaskan Federer dalam perlawanan akhir 2009 berjaya me­ngulanginya sekali lagi ke atas pemain pilihan utama itu yang tampak gagal memberikan tentangan bermakna.

“Ini adalah permainan terbaik saya dalam kejohanan ini. Semua yang saya lakukan berjalan de­ngan baik. Servis saya, pukulan kilas saya semuanya menjadi. Sa­ya rasa saya memang berhak me­nang,” katanya selepas perlawanan.

Federer yang memang men­­jang­kakan masalah besar berdepan Del Potro, cuba menghalang pukulan kilas lawannya itu dari awal namun gagal malah lebih menyukarkan apabila servis Del Potro juga banyak memberi masalah kepadanya untuk dipatahkan.

Dengan kekalahan itu, impian untuk menyaksikan Federer bertemu Nadal dalam separuh akhir berkecai sebaliknya Del Potro kini mula digeruni dan tidak mustahil mampu menumbangkan pemain Sepanyol itu apabila bertemu nanti.

Terdahulu Nadal mudah mara lebih awal dengan menewaskan pemain muda Rusia, Andrey Rublev 6-1, 6-2, 6-2 dalam perlawanan suku akhir yang berat sebelah dan dikuasai sepenuhnya juara Terbuka Perancis itu.

“Jika Roger Federer lawan saya selepas ini, sudah tentu saya teruja untuk berdepan dengannya. Apatah lagi ia cukup istimewa kerana ini kali pertama kami bertemu di New York ini,” kata Nadal sebelum mengetahui keputusan Federer. – AGENSI