Pada KL2017, Ogos lalu, Tanalaksiumy atau lebih dikenali sebagai Tana Rayer meraih pingat gangsa acara 4x400 meter wanita dalam penampilan pertamanya.

Tana, 23, yang bukan sahaja terkenal dengan kehebatan di atas trek, malah pernah menjadi peserta akhir Miss Universe Malaysia 2017 mengakui, meraikan kejayaan akan menjadi lebih bermakna apabila dapat berkumpul bersama keluarga.

Katanya lagi, sehari sebelum perayaan adalah hari yang sibuk buatnya kerana membantu keluarga membuat persiapan akhir sebelum tiba pesta cahaya, esok.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya yang beragama Hindu.

“Saya berharap sambutan Deepavali ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan paling penting semua rakan-rakan atlet yang menyambutnya dapat menjaga pemakanan.

“Kegembiraan pesta cahaya ini harus dikongsi bersama dan doakan kejayaan saya dalam olahraga, terutama menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain bergelar atlet, Tana yang juga pelajar jurusan perakaunan di sebuah universiti swasta juga berbakat dalam bidang nyanyian, tarian serta lakonan. - UTUSAN ONLINE