Tarikh WCWC Perlis 2020 yang akan berlangsung di Gelanggang Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra ialah pada 24 hingga 30 Julai 2020.


Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) sebagai sebuah badan berdaftar yang menjadi penggerak sukan woodball di negeri ini telah diberi mandat mengurus dan melaksana kejohanan tersebut oleh International Woodball Federation(IWbF), Persekutuan Woodball Asia (AWF) dan Persatuan Woodball Malaysia (MWA).


Sesungghnya, masa akan berlalu begitu pantas. Lantas semua pihak yang terlibat perlu bertindak segera di dalam merancang dan mengurus aktiviti-aktiviti berkaitan. 


Bagi mengelakkan kesukaran di saat-saat akhir, kita perlu mewujudkan ‘laluan kerja’ atau ‘work flow’ yang betul. Dengan adanya carta kerja masa ‘Gantt chart’ yang ada, segala aktiviti dapat dipantau dan diambil tindakan segera sekiranya terkebelakang daripada waktu yang dirancangkan.


Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga berkenan berangkat menghadiri ‘Mesyuarat Titah Amanat Tuanku Penaung DRaja PWNPs sebagai persediaan menganjurkan WCWC Perlis 2020’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat UniMAP, Tingkat 3, Bangunan KWSP, Kangar baru-baru ini.


Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden serta Timbalan Presiden PWNPs, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Zaharin Haris.


Turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri merangkap Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Nasaruddin Abdul Muttalib, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta AJK PWNPs.


Baginda turut menambah bahawa pelaksanaan kejohanan sebesar ini memerlukan penyelarasan yang cekap dan melibatkan berbagai pihak. Peranan dan tanggungjawab yang bakal dimainkan oleh pihak-pihak yang dipertanggubgjawabkan hendaklah diperjelaskan supaya struktur organisasi dapat berjalan lancar.


Bajet juga hendaklah diuruskan dengan penuh berhemah supaya tiada pembaziran. Setiap inci perbelanjaan hendaklah diakaunkan supaya tiada unsur-unsur yang tidak sihat berlaku.


‘Tanganilah sebarang isu berbangkit dengan berhemah serta rujuklah kepada pihak berwajib. Selain itu, anggaplah semua negara peserta ini sebagai tetamu dan layanan terbaik hendaklah menjadi ‘moto’ untuk semua yang terlibat sepanjang mereka berada di Perlis.’ titah baginda.


Untuk rekod, di samping menjadi hos WCWC2020, dua lagi kejohanan dijangka akan dapat dilaksanakan serentak di negeri ini ketika WCWC Perlis 2020 iaitu World University Woodball Championship (WUWC) yang statusnya sekarang masih dalam proses pembidaan dan ‘Malaysia Open International Woodball Championship Ke-24 yang sudah ditetapkan dan akan dipertandingkan di Gelangang Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra UiTM Perlis dan Kolej Matrikulasi Perlis juga di Arau. - UTUSAN ONLINE