Walaupun catatan itu diiktiraf atas bantuan angin dengan 9.79 saat namun ia sudah cukup memberi petanda bahawa laluan Bolt untuk memenangi emas pada kejohanan dunia terakhir­nya di London pada Ogos ini agak menyukarkan.

De Grasse, 22, yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 dalam acara itu di belakang Bolt, jelas me­nunjukkan banyak peningkatan sejak kebelakangan ini terma­suk menang saingan Liga Berlian di Oslo, Norway pada Khamis lalu.

“Agak mengejutkan saya juga selepas melihat catatan masa tersebut. Saya hanya mahu berlari sekitar 10 saat sahaja kerana merasakan tidak mampu lari sepantas itu. Ini adalah yang paling pantas pernah saya buat,” katanya selepas perlumbaan itu yang menyaksikan lima atlet berjaya lari di bawah 10 saat termasuk pelari di tempat kedua dari Ivory Coast, Ben Youssef Meite dan pelari di tempat ketiga, Ryan Shields dari Jamaica.

Ketika ini, Bolt masih muncul pemegang rekod dunia 100 meter dengan catatan masa 9.58 saat yang dilakukannya pada kejohanan dunia 2009 di Berlin, Jerman. Bagaimanapun De Grasse sudah semakin hampir dengannya.

“Sudah tentu ia memberi lebih keyakinan kepada saya untuk berlari lebih pantas walaupun merasakan saya berlari tidaklah sepantas itu. Saya tahu sekarang bila boleh mula bentuk kekuatan dan rasa selesa untuk berlari. Yang penting saya sampai ke kemuncak prestasi di kejohanan dunia nanti kerana ia pasti sesuatu yang istimewa,” tegasnya. – AFP