Jurulatih Awan Merah, Mohd. Shafie Shamsudin berkata, dia berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya dan menyifatkan mereka sudah matang dalam pertan­dingan.

“Saya boleh katakan kami bermula daripada kosong. Pasukan ini dibina dua tahun lalu dan pada waktu itu pemain saya bukan sahaja tidak boleh bermain dengan baik, malah lemah dalam menimang bola takraw.

“Saya bekas pemain sepak takraw, walaupun tidak pernah mewakili skuad kebangsaan tetapi dengan pengalaman yang ada saya mengajar pemain bermain sepak takraw dan sepanjang tempoh dua tahun ini mereka sudah boleh beraksi dengan baik.

“Inilah yang saya harapkan selama ini apabila berjaya menghasilkan produk berkualiti walaupun pemain saya sebelum ini tidak mempunyai pengalaman, namun sekarang mereka boleh menjadi pencabar dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya di sini hari ini.

Awan Merah mara ke final selepas menumpaskan Warisan AZ D 21-6, 24-22, sekali gus bakal bertemu iSTC Penang di kompleks beli-belah Quill City, Kuala Lumpur esok.

Tambah pengendali berusia 34 tahun itu lagi, sebaik sahaja kejohanan tamat dia akan memastikan pemainnya terus menyertai mana-mana kejohanan bagi mencari lebih banyak pengalaman.

“Usaha kami tidak akan berhenti setakat di sini kerana saya perlu menghantar pemain menyertai lebih banyak kejohanan sebab dengan cara itu sahaja pemain mendapat pendedahan yang lebih luas,” katanya lagi.