Atlet Kuala Lumpur berusia 18 tahun itu berjaya mengetepikan dua pencabar utama iaitu pemain skuasy negara, Rachel Arnold dan Tammy Ng dari sukan gimrama.

Kejayaan itu membolehkan Nur Dhabitah membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala iringan.

Pemenang pingat emas Sukan SEA ke-29 dalam acara 3 meter papan anjal itu memberitahu, anugerah yang diterimanya adalah sesuatu yang sangat besar dan bermakna dalam kariernya.

“Memang saya gembira dengan kejayaan ini kerana ia sesuatu yang sangat besar buat saya.

“Selepas ini saya akan fokus kepada latihan dan berharap dapat menyumbang lebih banyak pingat buat negara,” katanya kepada pemberita.

Atlet taekwondo negara, Danial Mohd. Azri yang melakar beberapa kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pula dipilih sebagai Olahragawan Wilayah Persekutuan.

Tidak ketinggalan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Ziyad Zolkefli yang diberi anugerah khas paralimpik lelaki.

Anugerah Olahragawan Harapan menjadi milik bintang muda skuasy negara, Ng Eain Yow, manakala atlet angkat berat, Nur Atikah Mahamad Sobri muncul Olahragawati Harapan.

Sukan gimnastik juga cemerlang kali ini apabila merangkul dua anugerah iaitu Pasukan Terbaik melalui pasukan gimrama, selain anugerah khas Persatuan Sukan menerusi Persatuan Gimnastik WPKL.

Sebelas kategori anugerah di­sampaikan semalam dan majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan.

Yang turut hadir Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii, Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Rizman Isli dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Ibrahim Yusoff.