Mat Sport
 

Selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berlangsung dia mencanangkan mengenai dua pingat emas yang dimenangi skuad negara sedangkan diraih tanpa menentang Thailand dalam chinlone dan antara regu.

Sebelum itu dia buat kecoh juga apabila isu boikot dan doping ketika Piala Raja Thai 2016, menggusarkan peminat tentang sepak takraw dikeluarkan daripada program Sukan SEA Ke-29 itu.

Sebagai rekod ini pun bukan kali pertama Ahmad muncul dengan episod kontroversi Sukan SEA. Dia yang mengarahkan PSM memboikot sepak takraw Sukan SEA Korat 2007 sebagai membantah bola baharu bersalut getah. Kasihan pasukan negara, habis penat lelah pemain berlatih sepenuh masa menjadi sia-sia gara-gara keegoan Ahmad.

Sebelum Sukan Asia Guangzhou 2010, dia berjanji hendak letak jawatan Presiden PSM jika pasukan negara gagal bawa balik emas. Sudahnya pasukan kalah, dia kata tunggu balik tanah air dulu nak putuskan tetapi hingga empat penggal dia masih duduk di situ lagi.

Tanggal 5 Julai lalu, Ahmad sudah buat promo kontroversi lebih awal menjelang Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan. Majlis undian sukan berpasukan di ibu kota Indonesia itu menyaksikan gelagatnya yang tidak diundang pun sebagai tetamu kenamaan tetapi dikatakan hadir sebagai pemerhati dan mewakili Kedutaan Malaysia!

PSM dikatakan terpedaya dengan helah tuan rumah yang didakwa sengaja menempatkan Malaysia dalam acara yang tidak didaftarkannya iaitu beregu berpasukan dan bukannya antara regu memandangkan Thailand tidak menyertainya.

Terbaharu Ahmad mengugut pula untuk menarik skuad negara daripada acara berkenaan dan hanya akan menghantar skuad 15 pemain untuk menyertai acara regu berpasukan yang turut disertai Thailand sekali gus menyempitkan peluang membawa pulang pingat emas. Kali terakhir Malaysia meraih emas acara itu ialah pada 1994 di Hiroshima, Jepun.

Kepada Ahmad dan PSM, cukup-cukuplah mencipta kon­troversi. Peminat-peminat sudah muak menonton ‘Telenovela PSM’ yang entah bila mahu tamat! Hantar sahajalah pasukan, masuk gelanggang terus berjuang dan pastikan kejayaan,

Ada hikmahnya kalau kita biasakan pemain negara menentang Thailand dalam regu berpasukan dan beregu berpasukan. Jangan lagi manjakan mereka untuk mudah mendapat sesuatu. Semakin sukar usaha kita, semakin tinggi nilai hasilnya. Walaupun mungkin kalah, biarlah kalah bermaruah daripada hanya menang kerana laluan mudah.

Ingatlah, biar setinggi mana gelaran yang kita menang, tinggi lagi martabat untuk dijulang!