Gimnas yang mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan itu terlebih dahulu meraih emas pada acara berpasukan kelmarin sebelum merangkul perak dan gangsa masing-masing bagi acara akhir apparatus belantan dan gelung pada saingan yang berlangsung di Stadium Indera Mulia.

Iman Alisha,13, berkata, kejayaan yang dilakarkan pada kejohanan edisi ke-19 itu merupakan satu sejarah serta batu loncatan kepadanya untuk beraksi pada saingan yang lebih besar.

“Saya rasa gembira dengan pencapaian hari ini walaupun dalam penyertaan pertama saya di Sukma. Saya berharap akan meraih lebih banyak pingat pada kejohanan lain pula selepas ini.

“Bagaimanapun saya agak tidak berpuas hati dengan aksi saya kerana saya ada melakukan kesilapan semasa beraksi. Saya mungkin perlu memperbetulkan beberapa beberapa teknik ketika melakukan lompatan,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pasukan gimrama Wilayah Persekutuan mengulangi pencapaian edisi lalu dengan menyapu bersih semua emas yang ditawarkan pada temasya kali ini.

Sementara itu, Iman Alisha mengakui datuknya, Muhyiddin merupakan salah seorang individu yang sangat supportive, begitu juga dengan semua ahli keluarganya.

Jelasnya, minat menceburi bidang ini kerana mengikuti jejak langkah kakaknya, Iman Suraya yang sebelum ini mewakili pasukan gimrama Selangor.

“Datuk seorang yang sangat supportive dan semua keluarga begitu. Sebenarnya saya mula meminati sukan gimrama kerana melihat kakak yang bergelar gimnas Selangor sebelum ini. Motivasi dari ahli keluarga membuat saya terus memberi aksi terbaik,” ujarnya yang memasang impian mempunyai sebuah kedai roti dan kek sendiri pada masa akan datang.