Pengurus pasukan olahraga Filipina, Sean Guevara berkata, walaupun kedua-dua acara dijadual berlangsung pada hari yang sama, kira-kira sejam perbezaan, atlet berdarah kacukan Filipina-Amerika itu berupaya mempamerkan pecutan emas di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kami telah meminta pihak penganjur buat perubahan, tetapi mereka enggan. Saya rasa tiada masalah baginya untuk berlari bagi kedua-dua acara pada hari yang sama, kerana dia mempunyai tenaga dan stamina untuk melakukannya.

“Dia akan terbang dari Texas, Amerika Syarikat selepas selesai jalani latihan dengan jurulatihnya di sana,” katanya selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan Olahraga Sukan SEA Ke-29 di sini hari ini.

Pada Selasa ini, Cray akan menyertai acara 100m berpagar pada pukul 3.30 petang, diikuti acara kegemarannya 400m berpagar (4 petang), manakala final 400m berpagar dan 100m akan diadakan pada pukul 8.20 malam dan 9.40 malam.

Guevara berkata, Cray yang menyertai Kejohanan Olahraga Dunia 2017 di London dalam acara 400m berpagar, juga tersenarai bagi acara 4x100m dan 4x400m lari berganti-ganti.

Juara Asia acara 400m berpagar itu turut meraih dua pingat emas pada edisi temasya di Singapura dua tahun lalu. – BERNAMA