Penganjuran pertandingan tersebut dilihat sebagai satu platform untuk penggiat sukan itu menonjolkan bakat mereka di pentas antarabangsa.

Wakil penganjur, Tengku Edzuan Tengku Mahamad, 32, berkata, Brazilian Jiu Jitsu mempunyai keunikan tersendiri berbanding seni mempertahankan diri yang lain.

Jelasnya, sukan itu hanya menggunakan teknik cekik atau choke dan menyerah atau submission kepada pihak lawan.

“Tiada pergerakan tendangan atau tumbukan digunakan ketika berlawan. Seni mempertahankan diri ini lebih kepada sukan tempur seperti judo dan gusti Greco Roman.

“Copa Da Malasia Grand Finale 16 atau siri keempat ini merupakan pertandingan terakhir untuk sesi 2016 dan sentiasa mendapat sambutan serta penyertaan dari peserta antarabangsa,” katanya ketika ditemui .com, baru-baru ini.

Tambah Tengku Edzuan, kira-kira 300 peserta termasuk dari dalam dan luar negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Jepun, Mesir, Australia dan Amerika Syarikat menyertai pertandingan tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai Brazilian Jiu Jitsu ini, Tengku Edzuan memberitahu, ketika pertandingan, peserta hanya boleh menang melalui pengumpulan mata menerusi submission.

“Brazilian Jiu Jitsu ini mudah dilihat dalam pertandingan Mixed Martial Arts (MMA) yang melibatkan pergelutan atas tanah (ground fighting).

“Sukan ini berbeza dengan karate atau taekwando yang menyaksikan pertempuran atau perlawanan dilakukan secara berdiri,” jelasnya.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan Malaysia iaitu Monarchy MMA menjuarai keseluruhan bagi kategori Gi iaitu memakai uniform atau kimono, manakala tempat kedua dimenangi pasukan GFTeam dan tempat ketiga milik Mascos Escobar BJJ Association.

Bagi kategori No Gi atau tidak memakai uniform atau kimono, juara menjadi milik GFTeam, tempat kedua jatuh kepada Monarchy MMA dan tempat ketiga, milik Marcos Escobar BJJ Association.

Dalam pertandingan tersebut, seorang peserta muda dari Malaysia, Wong Bing Bing dari pasukan Monarchy MMA yang berusia 14 tahun disifatkan antara peserta paling menonjol kerana bertanding dalam kategori dewasa (19-30 tahun).

Beliau berjaya menewaskan beberapa peserta dalam kategori Gi berat 57.6 hingga 64 kilogram dan memenangi pingat emas. – ADLINA/AMIN FARIJ HASAN