Mat Sport
Mat Sport

Mat rasa ada beberapa nilai yang amat sesuai untuk dijadikan panduan kepada masyarakat kita di Malaysia selama penganjuran Sukan SEA nanti.

Sejurus menjejakkan kaki di sana, Mat terpegun... bukan sebab keindahan pantai mahupun kecantikan gadis-gadis mereka sebaliknya keramahan masyarakat Samsun yang seakan-akan menyanjungi delegasi luar dari 96 buah negara yang hadir ke temasya berprestij bagi komuniti pekak sedunia itu.

Setiap langkah kami (kontinjen negara) pasti di­sekat, samata-mata mereka ingin bergambar dan ber­kenalan, meskipun secara total masyarakat Samsun tidak pandai berbahasa Inggeris mahupun bahasa isyarat. Dah macam artis dah kami.

Malezya!, Olimpiyat! itu antara perkataan sapaan dari mereka apabila nampak kami. Paling tidak pun akan melemparkan senyuman jika tidak bersuara. Sungguh dahsyat kemesraan mereka.

Mat sempat bertanya kepada pembantu deligasi kontinjen Malaysia, Rizqi Adilla Luqmana yang berasal dari Indonesia namun sudah menetap lima tahun di sana, berhubung budaya mereka yang sangat menyantuni ‘orang luar’.

Kata penuntut Universiti Ondokuz Mayis di Samsun itu: “Memang budaya mereka sukakan pelancong asing, ramah, tidak lekang dengan senyuman dan suka membantu. Mereka sangat teruja apabila dapat tahu Deaflympics akan berlangsung di sini.

“Di sini, penganjur mahu dapatkan 1,500 sukarelawan juga sangat mudah. Ramai yang berebut ingin membantu dan ada temuduga untuk tapisan. Promosinya juga sangat maksimum sehingga setiap peringkat usia mengetahuinya.

“Sepanjang Deaflympics berlangsung, boleh dikatakan sifar jenayah terhadap deligasi dari 96 negara. Di sini lebih selamat berbanding tanah air kita sendiri”.

Cuba bayangkan ketika di Sukan SEA nanti rakyat Malaysia menciplak budaya positif itu. Pastinya akan meninggalkan kesan mendalam dan mengukir memori indah kepada deligasi ASEAN ke temasya dwitahunan itu, termasuk pelancong yang hadir menyaksikannya.

Mungkin agak sukar untuk kita mengubah sekelip mata mentaliti sesebuah ‘tamadun’ tetapi percayalah jika nilai murni ini diterapkan kepada seluruh masyarakat kita pada Sukan SEA nanti.

Mungkin mereka yang datang itu juga akan jadi macam Mat...kagum.