Masih segar de­ngan kejayaan menjuarai Siri Super Premier Terbuka Malaysia, Ahad lalu, perseorangan badminton negara, Chong Wei berkedudukan baik untuk memenangi anugerah berprestij itu buat kali kedua selepas 2008.

Kejayaan muncul naib juara Kejohanan Dunia di Jakarta, selain tiga gelaran Siri Super Terbuka Perancis, China dan Hong Kong menjadi sandaran Chong Wei, namun keinginan Pandelela bergelar Atlet Terbaik SAM-100Plus kali ketiga selepas 2010 dan 2012, tetap sukar dikekang.

Peluang ratu terjun negara kelahiran Bau, Sarawak ini turut terbuka dengan pencapaian pingat gangsa platform 10 meter Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan yang menjadikannya atlet negara pertama layak ke Sukan Olimpik Rio, Ogos ini.

Namun juara Terbuka Hong Kong, Kejohanan Asia dan Klasik Cleveland yang juga ratu skuasy dunia, Datuk Nicol David pasti tidak merelakan rekodnya selaku pemenang terbanyak anugerah itu (2005, 2007 dan 2014) ‘dicalarkan’ oleh sesiapa.

Dua atlet seni bela diri turut menyaingi iaitu Loh Jack Chang dengan pencapaian terbaik pingat emas taijiquan Kejohanan Wusyu Dunia di Jakarta dan Mohd. Al Jufferi Jamari mempertaruhkan emas Kelas E Putra Kejuaraan Silat Dunia di Phuket.

Penyampaian anugerah akan dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sebuah hotel, di samping Anugerah Kewartawanan Sukan SAM-100Plus dengan enam kategorinya yang bernilai RM60,000.

Pemenang kategori utama, Laporan Khas Terbaik bukan sahaja akan mengaut hadiah RM7,000, tetapi turut mewakili Malaysia ke Anugerah Pearl Persatuan Media Sukan Antarabangsa (AIPS).

Lima lagi kategori yang dipertandingkan ialah Laporan Berita Terbaik (Media Cetak dan Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak dan Elektronik) dan Fotografi Sukan Terbaik.