Gelaran berprestij itu, yang menyediakan hadiah wang tunai RM20,000 kepada pemenangnya, sebaliknya menampilkan ramai jaguh baharu berdasarkan penilaian Jawatankuasa Pemilihan anugerah di sini hari ini.

Majlis penyampaian anugerah akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 25 Mei.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, enam calon Olahragawan Kebangsaan 2015 ialah Ooi Tze Liang (akuatik-terjun), Mohd. Al Jufferi Jamari (silat), Rafiq Ismail (boling), Thor Chan Leong (biliard-snuker), Loh Jack Chang (wusyu) dan Harrif Saleh (berbasikal).

“Calon Olahragawati Kebangsaan 2015 pula terdiri daripada Pandelela Rinong Pamg (akuatik-terjun), Nur Izzati Yaakob (bola keranjang), Fatin Nur Fatehah Mat Salleh (memanah), Siti Rahmah Mohamed Nasir (silat), Nur Shazrin Muhamad Latif (pelayaran) dan Chan Lu Yi (wusyu).

“Kami sentiasa menekankan pres­tasi cemerlang sepanjang 2015 dan mendapati enam yang disenarai pendek untuk kedua-dua kategori itu le­bih baik (daripada perseorangan badminton dan ratu skuasy negara itu),” jelas­nya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini.

Di antara calon-calon itu, hanya Atlet Terbaik Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus bulan lalu, Pandelela pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2011 dan 2012 manakala Tze Liang dan Fatin Nur Fatehah juga muncul pemenang Anugerah Olimpian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2015, November lalu.

“Turut disampaikan ialah Anugerah Olahragawan-Olahragawati Para­limpik Kebangsaan (hadiah RM20,000), Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan (RM20,000), Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan (RM5,000), Kepimpinan Sukan dan Tokoh Sukan,” katanya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail pula berkata, kesemua 10 pemenang kategori turut akan menerima hadiah tiket kapal terbang pergi dan balik ke destinasi luar negara sumbangan Malaysia Airlines.

“TM selaku penaja rasmi anugerah ini turut mewujudkan tiga lagi kategori iaitu Anugerah Pasukan Terbaik, Anugerah Detik Terbaik Sepanjang 50 Tahun dan Anugerah Atlet Suka Ramai secara pengundian oleh orang awam menerusi laman sesawang syarikat telekomunikasi itu,” katanya.