Keputusan kes doping bekas jaguh No. 1 dunia itu akan diketahui pada bila-bila masa selepas dia menjalani perbi­caraan di Amsterdam, Belanda, 12 April lalu.

Chong Wei, 32, digantung sementara sejak November lalu selepas diuji positif dadah dexame­thasone ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos tahun lalu.

Dia dilihat sebagai calon utama untuk menggondol anuge­rah Olahragawan buat kali kelima selepas menang pada 2012, 2011, 2008 dan 2005.

Olahragawan Kebangsaan 2010 dan 2009, Mohd. Azizulhasni Awang (berbasikal) serta pemenang anugerah 2013, Sazali Samad (bina badan) dijangka memberi saingan sengit.

Turut bersaing dalam merebut gelaran Olahragawan adalah Hafifi Mansor (angkat berat), Lim Chee Wei (karate), Ezuan Nasir Khan (menembak), Khairulnizam Afendy (pelayaran), Mohd. Al-Jufferi Jamari (silat), Fairus Jabal (boling padang), Ong Beng Hee (skuasy), Ooi Tze Liang (terjun) dan Rafiq Ismail (boling).

Sementara itu, jaguh skuasy negara, Datuk Nicol David menjadi calon utama untuk dinobat sebagai Olahragawati buat kali ke-10 selepas merangkul kejuaraan dunia kelapan, tahun lalu.

Nicol akan bersaing dengan Nur Suryani Taibi (menembak) dan Siti Zalina Ahmad (boling padang). Turut dicalonkan Tan Li Lian (bina badan), Syakilla Saini Jefri (karate), Siti Rahmah Nasir (pencak silat), Cheong Jun Hoong (terjun) dan Sin Li Jane (boling).

Kebanyakan calon dinilai berdasarkan prestasi mereka dalam Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Incheon tahun lalu, selain kejohanan dunia serta kejohanan utama lain.

Hadiah wang tunai RM20,000, piala pusingan dan iringan serta blazer menanti Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2014.

Turut disampaikan ialah Anugerah Pasukan dan Jurulatih (Lelaki dan Wanita) Kebangsaan, Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, Anugerah Khas Sukan, Kepemimpinan Sukan dan Tokoh Sukan.

“Sebanyak 12 daripada 47 persa­tuan sukan kebangsaan mencalonkan atlet mereka, selain satu daripada Majlis Paralimpik Malaysia dan tiga majlis sukan negeri Pulau Pinang, Sabah dan Kelantan setelah tarikh tutup 13 Februari lalu.

“Jawatankuasa juga berhak mencalonkan nama lain mengikut ka­tegori walaupun tidak dicadangkan persatuan atau majlis sukan itu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan anugerah, Datuk Jamil Salleh di sini semalam.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan berkata, penganjur juga akan cuba sedaya upaya memastikan calon-calon berkenaan dapat mengha­diri majlis anugerah berkenaan.

“Kami sedang mengusahakan semua atlet yang tercalon hadir dalam majlis itu kecuali mereka yang mengikuti kejohanan di luar negara,” katanya lagi.