Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, pihak di Beijing memaklumkan kepada mereka bahawa penerjun Malaysia tidak boleh berlatih di sana sehingga Sukan Olimpik berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil dari 5-21 Ogos. Namun, mereka dibenarkan kembali sebaik saja temasya tersebut berakhir.

Katanya, ASUM tidak punya pilihan selain mengemukakan permohonan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menaik taraf kolam dan kemudahan di Kolam Renang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras untuk membolehkan penerjun negara berlatih di situ.

Pusat Akuatik Nasional di Kompleks Sukan Bukit Jalil kini ditutup untuk kerja-kerja baik pulih menjelang Sukan SEA 2017 yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

“Beijing tidak membenarkan kami berlatih di sana sehingga tamat Sukan Olimpik dan alasan mereka mudah difaham.

“Saya berdoa kontraktor dapat menyiapkan kerja-kerja penambahbaikan (di Cheras), jadi penerjun negara boleh berlatih di Kuala Lumpur.

“Kami sudah memohon kepada MSN untuk menaik taraf kolam dan gimnasium, ini akan membantu pe­nerjun kita menyesuaikan diri de­ngan gelanggang terbuka,” kata Mae.

Bagaimanapun katanya, penerjun negara tetap menjalani latihan di China dalam persiapan terakhir menghadapi Temasya Rio apabila beralih ke Guangzhou, yang menjadi pangkalan latihan mereka selama ini.

Beijing sebelum ini dipilih sebagai pangkalan latihan untuk membolehkan penerjun menyesuaikan diri dengan gelanggang Sukan O­limpik yang bakal diadakan di venue terbuka.

Dalam Piala Dunia di Pusat Akuatik Maria Lenk, Rio yang berakhir kelmarin, Malaysia menyambar tiga lagi tiket Sukan Olimpik 2016, menjadikan lapan slot keseluruhan diraih penerjun negara.