Katanya, kejayaan diraih Jun Hoong pasti membakar sema­ngat atlet negara untuk mempamer prestasi terbaik pada temasya itu, terutama selepas melihat dia berjaya memecah dominasi China dalam acara 10 meter platform individu wanita Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, semalam.

Tambah Khairy, kejayaan yang diraih Jun Hoong sewajarnya menjadi inspirasi buat semua atlet negara yang akan bertanding dalam KL2017.

“Saya ada menghubungi Jun Hoong dan dia beritahu saya tidak sangka berjaya meraih pi­ngat emas tersebut.

“Dia juga beritahu ketika sai­ngan akhir bermula dia hanya fokus terhadap apa yang bakal dilakukan dan tidak langsung menghiraukan perkara lain.

“Sikap fokus sebegini yang kita mahukan dalam kalangan atlet negara sewaktu bertan­ding kerana apabila anda dapat fokus dengan sebaiknya maka tidak mustahil kejayaan mampu diraih,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran koleksi terhad KL2017 di sini, hari ini.

Jun Hoong memenangi pingat emas selepas mengumpul 397.50 mata. Dia berjaya menumpaskan juara Olimpik, Ren Qian dari China yang sekadar berpuas hati meraih gangsa (391.95 mata), manakala juara 2013, Si Yajie meraih pingat perak (396.00 mata).

Dalam majlis pelancaran koleksi terhad KL2017, Petronas dan Telekom Malaysia Berhad (TM) memperkenalkan barangan se­perti anak patung maskot rasmi RIMAU, botol air, jersi, payung dan magnet.

Barangan terhad itu akan dijual mulai Jumaat depan di lebih 300 buah stesen Petronas yang terbabit di seluruh negara.

Petronas Dagangan Berhad pula akan memperkenalkan Kad Mesra Petronas KL2017 dengan Touch ‘n Go dan Petronas Gift Card edisi eksklusif yang boleh didapati mulai esok hingga 31 Disember ini.

Kesemua barangan tersebut boleh dibeli dengan mudah di 326 Kedai Mesra yang terpilih di seluruh negara.