Kejayaan mengejut ini menggugat monopoli Garuda di gelanggang bulu tangkis yang kerap menggenggam emas berpasukan lelaki dan wanita dan hampir kesemua acara individu lain termasuk beregu campuran.

Razif-Jalani Sidek mencetuskan kehampaan Indonesia dalam Bangkok 1985 diikuti Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang di Singapura pada 1993 sebelum Soon Kit dengan gandingan baharu Yap Kim Hock menyambung langkah emas itu di Chiang Mai.

Kejayaan Cheah-Yap mengubati kehampaan kontinjen negara yang mengidam dua lagi emas daripada acara berpasukan lelaki dan perseorangan lelaki terutamanya menerusi Rashid Sidek.

Rashid sebaliknya disekat Joko Suprianto dalam perlawanan akhir berpasukan dan Ardy Wiranata ketika separuh akhir individu, memaksanya hanya membawa pulang sebutir perak dan sebutir gangsa.