Apa yang akan disaksikan nanti dirahsiakan tetapi yang pastinya detik-detik menuju ke upacara yang akan berlangsung malam esok sudah agak luar biasa bagi Malaysia selaku tuan rumah apabila menerajui persaingan setakat ini dengan tujuh pingat emas – tiga daripadanya dimenangi hari ini – untuk berada agak selesa di atas pencabar terdekat iaitu Singapura yang mengumpul dua pingat emas.

Putrajaya menjadi medan kontinjen negara mengutip dua emas hari ini dalam acara renang terbuka menerusi seorang peguam dan seorang lagi atlet yang menangguhkan hasrat untuk bersara selama setahun.

Satu lagi pingat emas sememangnya telah dijangkakan dalam acara memanah compound berpasukan campuran.

Heidi Gan, seorang peguam yang berpangkalan di Australia, sebenarnya tidak begitu sihat hari ini tetapi semangatnya begitu kental dalam usahanya merampas semula pingat emas renang perairan terbuka 10 kilometer. Kali terakhir dia memenangi acara itu adalah pada 2011 dalam temasya di Indonesia.

Terdahulu, kem Malaysia telah pun menyambut kejayaan Kevin Yeap yang memenangi kategori lelaki untuk menutup kariernya sebagai atlet dengan cara paling sempurna.

Perenang berusia 28 tahun itu berkira-kira untuk bersara tahun lalu tetapi atas pujukan jurulatih kebangsaan Paul Birmingham dia menangguhkannya.

Keputusannya itu bukan sahaja betul tetapi berbaloi. Kemenangannya hari ini bermakna dia mencipta sejarah sebagai juara dua disiplin renang berbeza iaitu di perairan terbuka dan di kolam renang setelah pernah memenangi acara 400m gaya bebas dalam Sukan SEA 2011. Dia turut memenangi pingat gangsa dalam acara 10km di perairan terbuka.

Kevin, ketika bercakap kepada wartawan kemudian mengumumkan ini adalah kali terakhir dia mewakili negara.

Mengulas kejayaan dua atlet di bawah bimbingannya itu, Birmingham dari Australia berkata: “Mereka telah melakukan sesuatu yang sangat hebat, terutama Kevin yang menyatakan hasrat untuk bersara.”

Sementara itu pemanah Malaysia begitu produktif di lapangan memanah apabila mengutip pingat emas ketiganya menerusi Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Juwaidi Mazuki dalam disiplin berpasukan campuran.

Ini adalah pingat emas kedua untuk kedua-dua atlet itu selepas masing-masing memenangi kategori berpasukan wanita dan lelaki di Padang Sintetik MSN, Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, Putrajaya akan menyaksikan perebutan pingat emas lagi esok apabila acara maraton berlangsung dan pada sebelah malanya tumpuan adalah di Bukit Jalil di mana upacara perasmian akan berlangsung.

Sebanyak 84,000 tiket yang dijual untuk upacara itu telah habis dijual dan pihak polis menasihatkan orang ramai agar hadir awal untuk mengelakkan mereka terlewat memasuki stadium.

Ini kerana Sukan SEA kali ini akan menjadi temasya sukan paling ketat tahap keselamatannya manakala kenderaan persendirian, kecuali yang mendapat pelepasan khas, tidak dibenarkan memasuki kawasan Bandar Sukan Bukit Jalil.

 

Kenyataan pengurusan Stadium Nasional

Orang ramai diminta tidak menyentuh atau mengalihkan peralatan yang telah diletakkan di tempat duduk.

Alat berkenaan adalah LED yang merupakan sebahagian gimik dan prop penting untuk upacara pembukaan.
Jika salah satu LED tidak menyala akan menyebabkan kesukaran untuk membetuk corak.

Flash dan laser juga tidak dibenarkan digunakan sama sekali semasa acara dilangsungkan.