Kata Abdul Azim satu perbincangan akan diadakan dengan pihak Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) pada esok bagi mendapatkan pandangan agar keseluruhan atlet negara dapat menjalani saringan ujian tersebut sebelum mereka bertolak ke Indonesia.

“Semua wajib menjalani ujian tersebut malah kuda bagi sukan equestrian juga akan menjalani ujian doping.

“Selain cara bagaimana untuk memastikan semua dapat menjalani ujian doping tersebut kita juga akan bincang berhubung kos untuk proses berkenaan tambahan pula bagi kuda jumlah kosnya lebih tinggi,” katanya selepas perjumpaan dengan pasukan ragbi negara di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sini, hari ini.

Sebelum ini, Abdul Azim mahu memastikan tiada lagi isu melibatkan atlet negara didapati positif ujian doping dalam temasya besar seperti Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.

Sementara itu, jurulatih ragbi tujuh sebelah negara, Mohd. Saizul Hafifi Md. Noor meletakkan sasaran tersendiri mahu membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam Sukan Asia biarpun pihak Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan sandaran tempat keempat kepada mereka.

“Saya sedar saingan dalam Sukan Asia amat getir kerana akan dikuasai oleh tiga gergasi Asia, Korea Selatan, Hong Kong dan Jepun.

“Kami akan cuba sebaiknya dalam penyertaan kali ini selain harus berwaspada ancaman daripada pasukan Sri Lanka,” kata Mohd. Saizul.- UTUSAN ONLINE