Dilahirkan tanpa tangan kiri, perenang berusia 17 tahun itu tidak melihat kekurangan pada dirinya sebagai halangan untuk mengecapi apa yang diingini.

Sejak kecil ayahnya, Lim Chee Kiong dan mendiang ibunya, Angie Ng mendidik Carmen seperti kanak-kanak normal, dan itulah yang menjadi kunci kejayaan yang dikecapi hari ini.

“Sokongan keluarga adalah elemen paling penting untuk menjadikan anda seorang yang berjaya,” ujarnya.

Membuat penampilan kedua dalam Sukan Para ASEAN baru-baru ini, Carmen bukan sahaja cemerlang meraih emas 50 meter gaya bebas S8 (kekurangan anggota), malah turut memecah rekod temasya.

Dia juga menghadiahkan dua perak kepada kontinjen negara dalam temasya dwitahunan yang menutup tirai, semalam.

Bermula dari kelas tarian beberapa tahun lalu, Carmen beralih kepada sukan renang dan dia melakukan aktiviti yang pada awalnya dianggap hobi dengan penuh kesungguhan.

Ketika ditanya rahsia kejayaannya, dia berkata, tidak menjadikan kekurangan diri sebagai halangan adalah faktor yang mendorongnya berjaya.

“Tidak kiralah golongan seperti kami atau normal, semua pasti pernah melalui detik sukar dalam hidup masing-masing.

“Jika anda tidak berputus asa dan sentiasa berusaha keras, tidak mustahil perkara yang anda impikan mampu dicapai,” kata Carmen.

Menyentuh tentang wajahnya yang sering kelihatan serius, Carmen berkata, dia sebenarnya seorang yang ceria.

“Kalau orang kali pertama jumpa saya, mungkin mereka anggap saya serius tetapi saya sebenarnya ceria dan peramah.

“Cuma dalam situasi tertentu yang memerlukan saya memberi fokus yang tinggi, saya memang sangat serius,” katanya.

Selain mahu cemerlang dalam sukan, pelajar pintar Sekolah Antarabangsa Sri Kuala Lumpur itu juga mahu berjaya dalam pelajaran.

Dia berazam untuk meraih keputusan cemerlang pada peperiksaan O-Level, Disember ini sebelum memenuhi impian melanjutkan pelajaran ke Ruthin Garden di Wales bermula Januari hingga 2019.

“Saya akan OK walaupun seorang diri ke Wales.

“Ya, ini kali pertama saya ke luar negara seorang tetapi saya yakin mampu menjalani kehidupan di sana kerana saya seorang yang suka hidup berdikari,” ujarnya.

Menyentuh soal hati, gadis yang berasal dari Subang itu mengakui belum dimiliki.

Dia enggan memikirkan tentang cinta kerana mahu fokus kepada sukan dan pelajaran.

“Impian saya mahu menjadi peguam, selain mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi. Saya mahu beraksi dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya.

Menurut Carmen lagi, sehingga hari ini kata-kata ibunya sentiasa dibawa untuk menemani hari-harinya.

”Jangan sesekali mengeluh ketika berdepan kesusahan, perlahan-lahan fikir dan cari jalan penyelesaian terbaik”.