Sebelum Brisbane, Sydney dan Perth pernah menjadi tuan rumah pada 1938 dan 1962. Cuma istimewanya penganjuran di Brisbane, ia muncul antara yang terbaik sehingga ke hari ini mempertandingkan 10 jenis sukan dengan memanah kali pertama dipertandingkan selain olahraga, badminton, angkat berat, tinju, gusti, renang/terjun, berbasikal, menembak dan boling padang.

Paling diingati, pada majlis pembukaannya ialah pengenalan maskot gergasi temasya yang diberi nama Matilda. Kemunculan kangaroo mekanikal setinggi 13 meter mengagumkan mereka yang menyaksikan upacara gilang gemilang itu.

Semuanya berjalan lancar tanpa ada tindakan boikot berlaku lagi dalam kalangan negara yang mengambil bahagian. Pada akhir­nya, Australia muncul juara ke­seluruhan dengan memungut 39 emas untuk menewaskan England di tempat kedua dan Kanada ketiga.

Kontinjen Malaysia yang tampil pada penyertaan kelapan di Sukan Komanwel sejak 1950 masih terus mengharapkan badminton untuk menyumbang pi­ngat selepas tidak menghantar atlet bertanding dalam sukan lain.

Ini merupakan kontinjen ketiga terkecil yang pernah kita hantar iaitu hanya enam atlet sahaja berbanding 18 orang empat tahun sebelum itu di Edmonton, Kanada. Pada temasya 1950 dan 1954, Malaya ketika itu menghantar 4 pegawai dan 3 atlet sahaja.

Namun Malaysia berjaya mengekalkan pencapaian hampir sama dengan temasya 1978 apabila berjaya membawa pulang satu emas dan satu gangsa. Emas menerusi gandingan Razif Sidek/Ong Beng Teong dalam beregu lelaki dan gangsa menerusi Razif dalam perseorangan lelaki.

Dalam acara berpasukan campuran, kehadiran James Selvaraj dalam perseorangan lelaki masih gagal membantu Malaysia menang pingat apabila tersekat di suku akhir. Faktor ketiadaan Sylvia Ng yang sudah bersara ketika itu ternyata amat dirasai.