Tidak seperti format terdahulu, kejohanan yang berlangsung kali ini tidak cukup 16 pasukan selepas India, Turki dan Scotland menarik diri di saat akhir. Tetap dibahagikan kepada empat kumpulan, juara setiap kumpulan sahaja layak ke separuh akhir.

Penganjur seterusnya menetapkan semua perlawanan diadakan secara liga sepusingan sebaik memasuki peringkat separuh akhir. Ini bermakna buat kali pertama dan terakhir dalam sejarah, Piala Dunia tidak menampilkan aksi final.

Sebaliknya, empat pasukan yang mara ke separuh akhir iaitu Uruguay, Brazil, Sweden dan Sepanyol saling bertemu sesama sendiri di mana pasukan yang memungut mata tertinggi diisytihar sebagai juara.

Selaku tuan rumah, Brazil mudah ke separuh akhir selepas mengungguli Kumpulan 1 manakala England terkandas seawal peringkat kumpulan.

Juara bertahan, Itali turut tersingkir seawal pusingan pertama kesan daripada nahas udara Torino setahun sebelum itu yang mengorbankan 10 pemain mereka.

Brazil yang dianggap sebagai pilihan mencatat kemenangan demi kemenangan di separuh akhir liga sepusingan dengan menewaskan Sweden 7-1, Sepanyol 6-1 dan hanya perlu seri ketika berdepan Uruguay untuk menjulang Piala Dunia.

Namun, Uruguay yang seri 2-2 dengan Sepanyol dan menang 3-2 ke atas Sweden, melakukan kejutan dengan menang 2-1 untuk memalukan Brazil di depan penyokong mereka sendiri, sekali gus muncul juara.

Walaupun mendahului menerusi Friaca, Brazil gagal mengekalkan kelebihan itu apabila Uruguay bangkit secara dramatik pada penghujung permainan dengan menjaringkan dua gol menerusi Juan Schiaffino dan Alcides Ghigghia.

Kejayaan bersejarah Uruguay itu kemudiannya diberi gelaran istimewa untuk diingati sampai bila-bila di mana dikenali sebagai Maracanazo berikutan kejayaan mereka memalukan Brazil di laman sendiri.