Dengan hanya satu kemena­ngan sejak tersingkir di pusingan kedua Terbuka Perancis, Bouchard amat berharap aksi di laman sendiri dapat membantunya kembali ke landasan yang tepat menerusi kejohanan pemanas badan untuk Terbuka Amerika Syarikat ini.

Namun, pemain itu gagal mempamerkan kebangkitan di depan penyokong sendiri, sebaliknya meneruskan rentetan kekalahan setelah melakukan 32 kesilapan sendiri dan tujuh kesalahan berganda menentang pemain ber­usia 21 tahun yang melakukan penampilan sulung ke undian utama.

“Saya berasa seperti bermain di laman sendiri. Saya berharap, saya akan terus mendapat soko­ngan dalam perlawanan berikut dan beraksi di gelanggang sama,” kata Vekic yang bakal berdepan pilihan ketiga dan juga bekas pemain No. 1 dunia Angelique Kerber dari Jerman.

Bouchard, yang pernah ber­ada di ranking No. 5 dunia dan mendapat pujian apabila berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Wimbledon serta separuh akhir Terbuka Australia dan Roland Garros pada 2014, menyaksikan sendiri kedudukannya merosot ke-70 dunia, malah memerlukan wildcard untuk me­nyertai pertandingan di tanah air sendiri.

Piala Rogers, yang dianjurkan secara bergilir antara Toronto dan Montreal di mana Bouchard dilahirkan serta dibesarkan, tidak pernah menjadi gelanggang keramat buat bintang tenis Kanada itu.

Bouchard, yang melakukan tujuh penampilan dalam undian utama pertandingan tersebut, pernah terkandas di pusingan pertama sebanyak empat kali dan hanya sekali berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua.

Walaupun kedudukannya da­lam ranking dunia tidak melayakkan dia beraksi di gelanggang utama, Bouchard yang merupakan seorang pemain yang popular, masuk ke gelanggang dengan senyuman setelah menerima tepukan gemuruh sebelum tersingkir 94 minit selepas itu dengan wajah yang kosong dan perasaan malu. – REUTERS