Atlet kelahiran Sarawak berusia 19 tahun itu mengharumkan nama negara apabila merangkul emas kategori remaja 65 kilogram lelaki hari ini, selain perak kategori senior dalam berat badan yang sama.

Bonnie tidak berdepan masalah melakukan angkatan 190kg bagi menewaskan peserta Brazil, Heleno Victor (115kg), manakala gangsa milik Beom Jo dari Korea Selatan (98kg).

Dalam saingan se­nior, angkatan 190kg Bonnie membolehkan dia memenangi perak di belakang juara, Hocine Bettir dari Algeria yang melakukan angkatan 191kg. Gangsa dimenangi Mohammad Tarbash dari Jordan dengan 181kg.

“Perancangan asal saya sebenarnya ingin membuat angkatan sehingga 170kg sahaja bagaima­napun selepas melihat persaingan semakin rancak, jurulatih memutuskan untuk meletakkan bebanan 190kg.

“Tidak banyak atlet bertaraf bintang mengambil bahagian di sini. Saya fikir dalam Kejohanan Dunia di Kazakstan nanti pasti lebih mencabar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, bercakap mengenai sasarannya selepas ini, Bonnie berkata, dia mahu memperbaiki ranking apabila beraksi pada Kejohanan Dunia di Kazakstan, Julai ini dalam misi mencari tiket Sukan Para­limpik Tokyo 2020.

“Saya kini ber­ada di ranking ketiga dunia. Saya mahu perbaiki kedudukan dengan menyasarkan untuk berada di tangga kedua sebab beza saya dengan pencabar terdekat dari China tidak begitu jauh.

“Tahun lalu ketika beraksi dalam Sukan Para Asia, Liu Lei melakukan angkatan 205kg manakala saya hanya kurang satu kilogram sahaja,” katanya yang juga pemegang rekod dunia remaja.