Bintang kontroversi Amerika Syarikat itu mengejutkan semua pihak apabila muncul juara dengan catatan 9.92s mengatasi rakan senegara, Christian Coleman di kedudukan kedua dan Bolt di tempat ketiga.

Perlumbaan itu menyaksikan Bolt menjadi pilihan utama untuk merangkul kejuaraan sebelum bersara tetapi Gatlin melakar kejutan dengan menjadi pelumba pertama sampai ke garisan penamat.

Keputusan itu nyata mengecewakan penyokong yang hadir.

Atlet berusia 35 tahun itu sebelum ini didapati bersalah kerana menggunakan bahan terlarang sebanyak dua kali dan dia menjadi mangsa kecaman penonton di Stadium London.

Bagaimanapun, Gatlin mendedahkan bahawa Bolt tidak seperti penyokong yang hadir sebaliknya memberikan kata-kata pujian kepada dirinya selepas tamat perlumbaan.

“Kami merupakan pesaing di dalam trek tetapi semasa sesi pemanas badan, kami sempat bergurau senda.

“Dia berkata kepada saya: “Tahniah, awak bekerja keras untuk kejayaan ini dan awak tidak layak untuk dicemuh seperti ini,”,” kata Gatlin.

Atlet AS itu memberitahu, Bolt sempat meluangkan masa untuk mengucapkan tahniah kepadanya meskipun bintang Jamaica itu kecewa selepas gagal untuk menamatkan kariernya dengan merangkul pingat emas terakhir.-AGENSI