USAIN BOLT dan Almaz Ayana bergaya bersama trofi masing-masing selepas dipilih sebagai atlet terbaik lelaki dan wanita 2016 dalam majlis penghargaan IAAF di Monaco semalam. AFP

Bolt dipilih untuk menerima anugerah tersebut berdasarkan pencapaiannya memenangi pingat emas acara 100 meter, 200 meter dan 4x100 meter pecut kali ketiga berturut-turut dalam Su­kan Olimpik, yang terbaharu adalah di Rio de Janeiro, Brazil Ogos lalu.

Sebelum ini Bolt memena­ngi tiga emas dalam temasya 2012 di London dan 2008 di Beijing.

Di Rio, Bolt, 30, mencatat masa 9.81 saat dalam 100m, 19.78s dalam 200m dan mengetuai kuartet Jamaica dalam lari berganti-ganti 4x100m untuk mencatat masa 37.27s dalam Olimpik terakhirnya.

Bolt, yang mengumumkan akan bersara tahun depan, menjadikan kejohanan olahraga dunia 2017 di London sebagai medan terakhir untuk bergelar juara dunia buat kali ke-11.

Ayana pula dipilih untuk memenangi anugerah tertinggi olahraga itu berdasarkan kejayaannya memecahkan rekod dunia ber­usia 23 tahun dalam acara 10,000 meter pada hari pertama acara olahraga dilangsungkan di Rio.

Catatan masa 29 minit, 17.45 saat yang dilakukannya di Rio memadamkan rekod lama 29:31.78s yang dicipta atlet China, Wang Junxia pada 1993. – REUTERS