Sebarang kontroversi juga langsung tidak kedengaran dalam kem boling negara, sekali gus boleh dikatakan barisan pengurusan dan persatuan menguruskan atlet-atlet dalam pasukan dengan begitu baik.

Persembahan cemerlang skuad negara bermula di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila berjaya mengulangi kembali kecemerlangan pencapaian terbaik negara dalam Sukan terbesar Asia Tenggara itu ketika 1999 di Brunei dan 2001 (Kuala Lumpur).

Pengakhiran tahun ditutup dengan kecemerlangan skuad wanita yang membawa pulang kembali kejuaraan dunia selepas menanti selama 10 tahun dari Las Vegas, Amerika Syarikat awal bulan ini.

Ini adalah kali ketiga Malaysia meraih emas acara berpasukan wanita iaitu kali pertama di Kuala Lumpur pada 2003 dan seterusnya di Monterrey, Mexico pada 2007.

Paling mencuri tumpuan pastinya ratu boling negara, Shalin Zulkifli yang dilihat terus konsisten sejak mewakili negara dan sepanjang penglibatannya dalam Sukan SEA, dia telah berjaya mengumpulkan 20 emas sejak kali pertama menyertai temasya itu pada tahun 1993.

Tidak mahu berhenti di situ, Shalin yang mula mewakili skuad junior negara ketika berusia 9 tahun sekali lagi menetapkan matlamat untuk membantu skuad negara meraih emas pada Sukan Asia tahun depan.

“Alhamdullilah sehingga ke hari ini, saya masih mampu mewakili negara dan mencipta kejayaan demi kejayaan untuk mengharumkan nama sukan boling negara di peringkat antarabangsa. Lebih membanggakan kita tidak pernah ketandusan pemain-pemain muda yang berbakat.

“Boleh dikatakan tahun 2017 adalah tahun yang cukup cemerlang buat skuad negara bukan hanya di Sukan SEA tetapi di kejuaraan dunia. Secara peribadi saya mengharapkan tahun 2018 membawa lebih banyak kejayaan untuk kita dan sasaran utama pastinya pingat emas Sukan Asia,” katanya.

Bagaimanapun kecemerlangan pasukan wanita negara di kejuaraan dunia tidak dapat diimbangi oleh skuad lelaki apabila gagal merangkul sebarang pingat tetapi secara keseluruhan prestasi mereka pada tahun 2017 juga turut membanggakan.

Jurulatih negara, Holloway Cheah tetap memuji persembahan skuad lelaki di kejuaraan dunia dan menyifatkan ada peningkatan yang positif, malah dia turut memuji kecemerlangan pasukan wanita.

“Pasukan lelaki tidaklah bermain dengan teruk, kalau tidak silap saya dalam kategori berpasukan kita berjaya berada di kedudukan keenam dan secara keseluruhan di kedudukan kelima. Jadi itu bukanlah satu kegagalan untuk mereka.

“Wanita sudah pasti melakukannya dengan sangat baik. Bagi saya selepas ini setiap kejohanan yang mereka sertai sudah pasti kita meletakkan sasaran sebagai juara. Saya jangkakan akan lebih banyak kejayaan mampu diraih skuad negara pada tahun depan,” katanya.

Secara kesimpulannya, nama Malaysia terpahat di peta dunia antara negara yang seharusnya digeruni dalam sukan boling sepanjang tempoh 2017.