Yang ‘membintangi’ episod menggembirakan itu ialah Nur Syazwani Marias, Muhamad Hairul Miran/Mohd. Rizal Hassan, Abu Bakar Nyat/Azrin Rahim dan Rahman Bava Kutty/Amin Rashid.

Syazwani menjuarai perseorangan wanita TPB4 (kurang upaya intelektual) selepas menjatuhkan 1,015 pin manakala rakan senegara, Eliyana Johari melengkapkan penamat 1-2 dengan mengutip 927 pin, mengatasi pemain Singapura, Diana Neo.

Hairul pula menambah koleksi emas keduanya sejak semalam selepas dia dan Rizal Hassan menguasai saingan beregu campuran TPB1/3 (buta sepenuhnya dan sebahagian) dengan 1,967 jatuhan pin.

Mereka dan rakan senegara, Azuan Amir Hassan dan Noresham Manaf juga memastikan kejayaan 1-2 sementara 2,489 pin meletakkan Abu Bakar Nyat/Azrin Rahim ke podium emas beregu campuran TPB9 (kecacatan fizikal kaki).

Emas keempat Malaysia dihasilkan Rahman Bava Kutty/Amin Rashid yang merebahkan 2,469 pin untuk menjuarai saingan beregu campuran TPB10 (kecacatan fizikal tangan), menundukkan gandingan Filipina dan Thailand.

Kata Syazwani, “tunjuk ajar bapa, Marias Hap sejak berusia 10 tahun, banyak menggilap bakat saya sehingga ke tahap ini. Bapa saya yang juga pegawai bank, macam jurulatih kedua saya pada waktu lapang.

“Kemudiannya bakat boling saya dikesan oleh jurulatih negeri, Tony Lim sejak dua tahun lalu,” kata anak jati Kuching berusia 24 tahun ini.

Sementara itu, Hairul menyifatkan hubungannya dnegan Rizal yang ibarat adik-beradik menjadi resipi utama kejayaan.

“Dua tahun bergandingan, keserasian sudah macam adik-beradik,” kata Hairul yang semalam menjuarai saingan TPB1 (buta sepenuhnya).