Muhamad Hairul Miran, Noor Lizah Salman dan Muhamad Suhaili Ab. Hamid masing-masing menjuarai kategori perseorangan campuran TPB1 (buta sepenuhnya), wanita TPB8 (berkerusi roda) dan lelaki TPB2 (buta sebahagian 5 meter) untuk menceriakan kontinjen negara sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Hairul menjatuhkan 919 pin untuk mengatasi dua pencabar dari Thailand yang meraih perak dan gangsa, V. Tangpoolpun (717) dan K. Kietkongtawee (686) dalam saingan TPB1. Dengan beroleh 824 jatuhan pin, Noor Lizah Salman pula menumpaskan rakan senegara, Ruzila Mustafa yang hanya kekurangan 20 pin atau 804 pin dan Rohayati (Indonesia, 679) dalam saingan TPB8.

Suhaili, 37, yang rela mengorbankan seketika mata pencariannya sebagai tukang urut di pusat beli-belah, jelas mendapat pulangan yang berbaloi dengan sebutir emas acara TPB2.

Dia meninggalkan dua pencabar terdekat, Kamarul Ariffin dari Brunei dan rakan senegara tuan rumah, Choo Kam Chan untuk memungut 1,268 pin dan kelebihan 72 pin.

“Jika saya bukan atlet boling para, saya masih meneruskan mata pencarian sebagai tukang urut. Syukur alhamdulillah sokongan isteri, Zalina Hassan yang juga pemain negeri, banyak membantu kejayaan ini,” kata Suhaili.