Gandingan Abu Bakar Nyat, Amin Rashid, Wong Kee Soon dan Zahidi Lamsah menjuarai saingan TPB8, 9 dan 10 (berkerusi roda, kecacatan anggota kaki dan tangan) selepas merebahkan 3,263 pin pada hari terakhir boling itu.

Mereka menewaskan pemenang perak dan gangsa, Filipina dan Thailand yang masing-masing memungut 2,809 dan 2,738 pin sementara satu lagi acara dimenangi dengan mengatasi Brunei (2,654) dan Thailand (2,525).

Emas kedua dan ke-11 keseluruhan milik tuan rumah dilengkapkan gandingan Choo Kam Chan, Rizal Hassan, Hairul Miran dan Suhaili Hamid yang menjatuhkan 2,851 pin untuk memenangi saingan TPB1, 2 dan 3 (buta sepenuhnya dan sebahagian 5/10 meter).

Sebelas emas Malaysia daripada 18 yang dipertandingkan turut membolehkan skuad negara yang di bawah pengurusan Nor Mahali Mohd. Torman ini bergelar juara keseluruhan para boling, mengatasi lawan seperti Thailand, Brunei dan Singapura.

Kata Hairul, “ini emas keempat saya secara peribadi. Kalau diberi peluang, kami akan terus berlatih sehingga Sukan Para Asia di Indonesia 2018.

“Macam tidak percaya pula saya boleh raih empat emas kali ini kerana sasaran awal saya hanyalah dua,” katanya yang dianggap ‘bintang’ acara perseorangan, beregu dan trio temasya kali ini.