Kelab Ukraine itu menang 2-1 untuk memberi kekalahan pertama kepada City daripada 29 perlawanan, sekali gus layak ke pe­ringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara selaku naib juara Kumpulan F dengan 12 mata, tiga mata di belakang skuad The Citizens.

Sebelum perlawanan, Fonseca, 44, telah berniat untuk mengenakan pakaian Zorro iaitu watak wira bertopeng yang terkenal sekiranya Shakhtar berjaya ke peringkat kalah mati.

“Ini adalah sidang akhbar pa­ling menyeronokkan sepanjang karier saya.

“Saya rasa sangat gembira, malah saya fikir kejayaan kami bukan sahaja membanggakan penyokong Shakhtar tetapi juga seluruh peminat bola sepak Ukraine,” katanya yang mema­suki bilik media dengan memakai topi hitam bersama jubah dan topeng.

Beraksi di bawah suhu sejuk mencecah negatif satu darjah celsius, City bergelut untuk mena­ngani serangan balas pantas tuan rumah.

Bakal berdepan tugas getir menentang musuh berjiran, Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad ini, pe­ngendali City, Pep Guardiola memilih untuk merehatkan beberapa tonggak dan mengetengahkan pemain muda seperti Phil Foden serta Tosin Adarabioyo.

Shakhtar bermula agresif de­ngan membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi Bernard, sebelum Santos menjadikan kedudukan 2-0, lapan minit kemudian.

Gol saguhati pasukan pelawat disempurnakan oleh Sergio Aguero menerusi sepakan penalti pada waktu kecederaan. – AGENSI