Jurulatih Real itu pernah bersama skuad Old Lady sebagai pemain antara 1996 hingga 2001, menyaksikan potretnya juga tergantung di dinding stadium kelab gergasi Itali itu di Turin.

Real tewas 1-2 kepada Atletico di Stadium Vicente Calderon hari ini, namun mereka tetap layak ke perlawanan akhir menerusi agregat 4-2, dengan Zidane menyifatkan pertembungan di Cardiff pada Jun nanti akan memberi makna terbesar dalam kariernya.

“Sudah tentu agak istimewa. Mereka (Juventus) memberikan segalanya kepada saya. Namun saya kini bersama Real Madrid, sebuah lagi kelab yang berada dalam hati saya.

“Pastinya perlawanan akhir yang menarik. Kami sedar mereka (Juventus) sudah menempuh segala kesukaran dan berhak berada di sana (final). Saya rasa kami juga mengalami perkara yang sama,” ujar Zidane.

Meskipun Real tewas kepada seterunya dalam perlawanan derby itu, namun Zidane berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan anak-anak buahnya terutama selepas Atletico menyumbat dua gol dalam tempoh 16 minit terawal.

Real memulakan perlawanan itu dengan kelebihan jaringan hatrik Cristiano Ronaldo ketika separuh akhir pertama, namun jaringan Saul Niguez dan Antoine Griezmann mengejutkan mereka untuk seketika.

“Dengan ketenangan dan kesabaran, kami tahu kami akan mendapat peluang. Selepas 25 minit semuanya berubah. Pada babak kedua, kami berjaya mendapatkan rentak permainan.

“Isco (menjaringkan gol pada minit ke-42) memberikan kelegaan kepada kami, seperti biasa menerusi kualitinya yang tersendiri. Dia telah memusnahkan harapan pihak lawan,” ujar Zidane.

Pemain Sepanyol itu bukan sahaja menjaringkan gol untuk Real tetapi kerja kerasnya di bahagian tengah pada babak kedua membantu pasukannya mengekang tekanan yang diberikan Atletico.

Kemenangan itu bermakna Real mara ke perlawanan akhir merebut Piala Eropah untuk kali ke-15 dan memburu kejayaan ke-12.

Jurulatih dari Perancis itu, yang mula membimbing Real pada Januari 2016, membimbing pasukannya meraih kejayaan ke-11 musim lalu selepas menumpaskan Atletico dalam perlawanan akhir. REUTERS